PICKids: Sasar 70 peratus kanak-kanak divaksin pada Februari

Ridauddin Daud
Februari 3, 2022 14:10 MYT
Ibu bapa dan anak-anak beratur menunggu giliran pada hari pertama Majlis Pelancaran PICKids di Hospital Tunku Azizah Kuala Lumpur hari ini. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasarkan 70 peratus kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun menerima vaksin menjelang hujung Februari ini.
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, sasaran itu dibuat berlandaskan keyakinan disuarakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak (CITF-C), Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.
“Semalam saya kata harap separuh pada akhir bulan Februari, tapi pengerusi CITF-C lagi yakin, 70 peratus pada hujung bulan ini.
COVID-19 | Program PICKids bermula
“Sasaran, bagi saya, kalau sekiranya lebih daripada separuh cohort ini 5 ke 11 tahun bagi bulan Februari, itu adalah sasaran lebih baik.
“Dari segi bekalan cukup, akan dihantar setiap minggu. Apa yang penting, kita nak bina keyakinan ibu bapa untuk mendaftar. Ini adalah satu usaha yang berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak (PICKids) di Hospital Tunku Azizah pada Khamis.
BACA: Tiada kes Kategori 4, 5 dalam kluster pendidikan buktikan vaksin berkesan - Khairy
Dalam pada itu, mengulas sela masa selama lapan minggu membabitkan vaksin kepada kanak-kanak, Khairy berkata tempoh itu telah dipersetujui pakar-pakar selepas mereka membuat kajian terperinci.
“Lapan minggu ini adalah syor yang ditetapkan kumpulan pakar kita. Walaupun ada negara yang sela masa adalah lagi singkat, tetapi kita telah kaji perkara ini.
“Kita juga mengambil kira keyakinan orang ramai serta ibu bapa dan usaha kurangkan kesan sampingan, maka kita buat tetapan untuk longer interval (sela masa lebih lama).
“Tapi longer interval ini juga akan beri kesan lebih baik. Kita dah buat kajian melalui kumpulan pakar, keberkesanannya pada tahap optimum,” ujarnya.
PICKids secara rasminya dilancarkan pada Khamis, 3 Februari 2022 di Hospital Tunku Azizah di sini dan disempurnakan Khairy dalam satu majlis di hospital tersebut, pagi tadi.
Menerusi PICKids, dianggarkan empat juta kanak-kanak dalam lingkungan umur berkenaan layak menerima vaksin dan vaksin mRNA iaitu Comirnaty 10mcg Concentrate for Dispersion (Pfizer-BioNTech) akan digunakan.
COVID-19 | Program Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak bermula
Terdapat tiga Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kids (PPVKids) boleh dipilih ibu bapa semasa menempah slot janji temu vaksinasi anak mereka di MySejahtera iaitu PPV di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur dan Axiata Arena Bukit Jalil , Kuala Lumpur serta Pusat Konvensyen IDEAL (IDCC) Shah Alam, Selangor, bermula hari ini.
Selain itu, terdapat 24 lagi PPVKids di sekitar Lembah Klang boleh dipilih untuk vaksinasi kanak-kanak bermula 5 Feb dan senarai PPV tersebut boleh disemak di laman web rasmi atau laman media sosial Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF).
#Khairy Jamaluddin #KKM #PICKids #PPV #mRNA
;