PICKids Pulau Pinang berjalan lancar, 40,000 kanak-kanak daftar terima suntikan vaksin

Dewi Nur Harasha Alias
Februari 7, 2022 09:35 MYT
Seramai 10 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun menerima suntikan dos pertama vaksin hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hospital Pulau Pinang hari ini bersama waris masing-masing. - Foto Astro AWANI
GEORGE TOWN: Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) di Pulau Pinang yang bermula hari ini berjalan lancar .
Seramai 10 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun menerima suntikan dos pertama vaksin hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hospital Pulau Pinang hari ini bersama waris masing-masing.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Norlela Ariffin berkata, sebagai permulaan 10 kanak-kanak selesai menerima suntikan vaksin di HPP.
Menurutnya, seramai 40,000 daripada 160,000 kanak-kanak yang didaftarkan untuk menerima suntikan dan proses pemvaksinan akan dijalankan secara berperingkat selepas ini termasuk di sekolah.
"Kita baru bermula hari ini, lepas ini akan diadakan di Klinik Kesihatan untuk kanak-kanak lain, at the moment let study the cases today, kita tidak boleh just buat sesuatu yang baharu, hendak tengok kesannya. Hanya, kalau dia divaksin jangan buat aktiviti sukan, jangan lasak sangat," katanya.
Beliau berkata kepada media selepas meninjau proses pemberian vaksin kepada kanak-kanak di PPV Hospital Pulau Pinang (HPP) pada Isnin.
PICKids di negeri itu dijalankan di bahagian pulau ialah di Hospital Pulau Pinang (HPP) manakala di bahagian Seberang Perai adalah di Hospital Seberang Jaya (HSJ).
Pemberian vaksin untuk kanak-kanak yang tidak mempunyai penyakit dan bukan komorbid belum lagi bermula.
#PICKids #Dr Norlela Ariffin #vaksin #Kanak-kanak