PICKids: Pantau kesan sampingan, tahap kesihatan anak selepas divaksin
Faris Danial Razi
Februari 3, 2022 07:51 MYT
Februari 3, 2022 07:51 MYT
KUALA LUMPUR: Ibu bapa perlu memantau tahap kesihatan anak-anak selepas diberikan suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak (PICKids) yang bermula pada Khamis (3 Februari).
Jelas pakar pediatrik Dr Mohd Zaqrul Razmal Mohd Podzi, sekiranya kanak-kanak mula mengalami kesan sampingan yang teruk dan mula mengadu masalah seperti sesak nafas, segera bawa mereka berjumpa pakar kesihatan.
“Sekiranya anak-anak disuntik vaksin, mereka sama ada akan berdepan kesan tindak balas dengan segera atau sedikit lambat.
“Kesan segera itu kebiasaannya mengalami bengkak di bahagian suntikan, ataupun demam selepas 24 jam dan itu semua perkara biasa.
“Tetapi, kalau anak-anak mula menunjukkan simptom seperti tidak boleh bernafas, sesak nafas, naik ruam, mata bengkak, alergi yang agak teruk, atau mula mengadu sakit dada dan nampak lemah, terus bawa ke hospital.
“Ada kanak-kanak yang simptomnya datang awal, ada simptom lewat yang mana boleh mencecah sehingga lebih sebulan selepas menerima dos pertama ataupun sebulan selepas dos kedua,” ujarnya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Khamis.
Tambah Dr Zaqrul, ibu bapa juga perlu memantau anak-anak setiap kali menerima suntikan vaksin kerana ia berbeza-beza kesannnya bagi setiap kanak-kanak, sama seperti dewasa.
“Kadang-kadang dos pertama itu mereka tiada kesan langsung, tetapi dos kedua baru timbul kesan sampingan itu.
“Jadi, kepada ibu bapa, anda perlu sentiasa berwasada, perhatikan anak anda, kalau mereka mengadu kepenatan, periksa jantung mereka.
“Jika mengadu masalah gatal, pastikan penyakit ruam di kulit mereka itu tidak begitu teruk, segala kerisauan yang timbul sila segera berjumpa dengan doktor pakar,” tambahnya.
Pemberian vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun menerusi PICKids bermula pada Khamis di Lembah Klang sebagai permulaan.
Jumlah kanak-kanak dalam lingkungan umur itu yang mendaftar untuk menerima vaksin COVID-19 sudah mencecah 517,107 orang, setakat Selasa.
Setakat 27 Januari 2022, lebih daripada 63.1 juta dos vaksin telah diberikan dan 51.5 peratus atau 32.4 juta dos disumbangkan oleh PPS dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Kesihatan di bawah ProtectHealth.