PICKids: KJ sahkan sudah daftar anak terima vaksin
Astro Awani
Februari 3, 2022 11:17 MYT
Februari 3, 2022 11:17 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengesahkan sudah mendaftarkan anaknya yang berusia enam tahun untuk menerima suntikan vaksin menerusi tempahan di aplikasi MySejahtera.
“Semalam saya sendiri sudah pilih tempahan untuk anak saya,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak (PICKids) di Hospital Tunku Azizah pada Khamis.
Ia sebagai menjawab dakwaan segelintir pihak yang mendakwa beliau dan anaknya tidak menerima suntikan vaksin COVID-19.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata proses pendaftaran PICKids melalui aplikasi MySejahtera disambut baik kalangan ibu bapa.
"Ibu bapa juga sudah mula daftarkan anak mereka akan terima pautan untuk membuat tempahan.
“Kali ini kita nak mudahkan ibu bapa untuk pilih masa jadi kami berikan mereka pilihan dan mereka sangat berterima kasih diberi kebebasan pilihan masa, tarikh dan tempat vaksinasi," kata Khairy lagi.
Khairy juga berkata, keutamaan untuk pemberian vaksin pada permulaan program tersebut adalah kepada kanak-kanak yang mempunyai masalah kesihatan kerana mereka lebih berisiko untuk dijangkiti COVID-19.
“Kita telah membuka pendaftaran untuk vaksin ini dan kita mulakan dengan kanak-kanak komorbiditi dan mempunyai daya tahan imun yang rendah. Kita akan berikan vaksin kepada golongan ini di hospital.
“Hari ini kita juga memulakan pemberian vaksin di PPV Integrasi lain seperti di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur dan Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Pemberian vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun bermula secara rasminya hari ini.
Buat permulaan, ia tertumpu di Lembah Klang dan akan dilaksanakan melalui hospital bagi kanak-kanak yang mempunyai masalah kesihatan.
Manakala bagi penerima yang tiada masalah perubatan akan diberikan suntikan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi.