PICKids: "Kita ikhtiar demi keselamatan anak-anak" - Ibu bapa
Hasimi Muhamad
Februari 3, 2022 17:47 MYT
Februari 3, 2022 17:47 MYT
KUALA LUMPUR: "Demi keselamatan anak-anak dan perkembangan pembesaran mereka."
Demikian luah ibu bapa yang secara sukarela mendaftarkan anak masing-masing dalam Program Vaksinasi COVID-19 Kanak-Kanak (PICKids) yang bermula pada Khamis.
Segelintir ibu bapa yang ditemui Astro AWANI di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) menyifatkan pemberian imunisasi itu sebagai ikhtiar untuk melindungi anak-anak mereka.
Menurut Mejar Bersara Zulkiflee Abdul Latiff, 48, dua anaknya Muhammad Latiff Iskandar, 10, dan Muhammad Iskandar Zulkarnain, 6, teruja untuk menerima vaksin walaupun berasa sedikit gementar.
Bapa kepada lapan cahaya itu bersyukur kesemua anaknya kini sudah mendapatkan vaksin bagi melindungi diri daripada jangkitan penyakit.
“Kita memang menyokong sebab vaksin ini penting. Kita kena ada vaksin untuk melindungi tubuh badan kita.
“Kita berikhtiar… tak mahu lah terkena penyakit. Mereka takut juga untuk ambil vaksin tetapi kita bagi kata-kata semangat, bawa pergi berjalan petang semalam dan makan untuk memujuk mereka datang pagi ini,” katanya kepada Astro AWANI, di sini pada Khamis.
Sementara itu, isteri Zulkiflee, Hayati Mat Yaacob, 46, berkata, tidak sukar untuk memujuk dua anaknya itu bagi menyertai PICKids memandang mereka sudah melihat sendiri semua ahli keluarga mengambil vaksin COVID-19.
“Anak-anak dah tahu pasal vaksin sebenarnya sebab dia tengok kita dan kakak-kakak mereka vaksin. Kakak dia sakit selepas vaksin, jadi dia tahu lah. Setakat ini tidak susah untuk kita pujuk dia (mengambil) vaksin,” tambahnya.
Dalam pada itu, suri rumah, Shallu Sharma, 44, berkata ancaman COVID-19 yang semakin membimbangkan mendorong dia mendapatkan pelindungan untuk anak perempuannya, Advika Sharma, 9.
"Ia sangat diperlukan untuk keselamatannya kerana sekarang COVID-19 semakin mengancam dan kita perlu mendapatkan vaksin. Jadi untuk menyelamatkan kita dan memerangi COVID-19, semua orang perlu mendapatkan vaksin.
"Tidak (risau dengan kesan sampingan). Ia memang ada jika anda mengambil vaksin tetapi itu bermakna vaksin itu berfungsi," ujarnya.
Bagi pekerja swasta, Foo Chuan Liang, 40, pula, dia berpuas hati dengan proses janji temu melalui aplikasi MySejahtera dan pemberian vaksin di PPV Integrasi WTCKL.
"Sebenarnya saya sudah bersedia untuk datang dan membawa anak saya mendapatkan vaksin. Selepas menerima pautan daripada khidmat pesanan ringkas (SMS) semalam, saya terus mengisi dan membuat janji temu di MySejahtera.
"Saya juga ada kelapangan masa hari ini, dan terus bawa anak ke sini," katanya.
PICKids disasarkan kepada 4.1 juta kanak-kanak dilaksanakan bermula di Lembah Klang sebelum ia diperluaskan secara berperingkat ke seluruh negara.