PICKids: Kenapa kanak-kanak perlu divaksin? Ikuti Dialog Tiga Penjuru malam ini

Astro Awani
Februari 3, 2022 16:46 MYT
Dialog Tiga Penjuru malam ini akan menyorot mengenai PICKids serta mengupas keperluan ibu bapa untuk membenarkan anak-anak yang berusia lima hingga bawah 12 tahun untuk mengambil vaksin COVID-19. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) yang bermula hari ini diberikan kepada kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun yang didaftarkan oleh ibu bapa mereka secara sukarela.
Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, vaksin jenis Comirnaty oleh Pfizer akan diberikan kepada kanak-kanak dengan isipadu satu per tiga daripada dos golongan dewasa.
Setakat ini, sebanyak 15 peratus iaitu seramai 517,107 kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun sudah mendaftar untuk menyertai PICK Kids.
Biarpun sambutan menggalakkan diterima daripada ibu bapa terhadap PICK Kids ini, namun, masih ramai yang sangsi dengan keputusan kerajaan meluaskan program vaksinasi COVID-19 kepada kanak-kanak berusia lima hingga bawah 12 tahun.
Sebetulnya, ibu bapa perlu memain peranan dalam melindungi keselamatan anak-anak mereka khususnya yang dalam lingkungan usia itu daripada dijangkiti COVID-19.
Dengan peningkatan kes jangkitan Omicron di peringkat global termasuk di Malaysia, ditambah pembukaan semula sekolah dan proses pengajaran secara bersemuka, memang ada keperluan untuk anak-anak ini divaksinasi.
Perkara ini merupakan salah satu sudut yang perlu dilihat untuk menggalakkan ibu bapa membenarkan anak mereka mengambil vaksin.
Ibu bapa juga dinasihatkan agar berbincang atau merujuk dahulu kepada doktor sekiranya anak-anak mereka mempunyai alahan atau sebagainya.
Menerusi program Dialog Tiga Penjuru malam ini, akan menyorot mengenai PICKids serta mengupas keperluan ibu bapa untuk membenarkan anak-anak yang berusia lima hingga bawah 12 tahun untuk mengambil vaksin COVID-19.
Panel-panel akan memperincikan apa cara terbaik untuk meredakan keresahan ibu bapa yang cukup sensitif terhadap kesihatan anak-anak, risau dan takut kesan sampingan kepada anak-anak mereka.
Malam ini, Dialog Tiga Penjuru menampilkan Mantan Timbalan Ketua Pengarah (Perubatan) Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Dr Rohaizat Yon; Pakar Pediatrik Imunologi & Alergi, AMDI, USM (Translational Immunology Group for Education, Research and Society), Dr Intan Juliana Abd Hamid dan Pakar Perubatan Keluarga / Naib Presiden Medical Mythbusters Malaysia (M3), Dr Megat Mohamad Amirul Amzar Megat Hashim.
Pastikan anda tidak ketinggalan menonton Dialog Tiga Penjuru pada pukul 8.30 malam ini di saluran 501 dan astroawani.com
#PICK KIds #Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak #vaksin #COVID-19 #KKM #ibu bapa
;