PICKids: Kadar laporan AEFI 0.1 bagi setiap 1,000 dos - NPRA
Umavathi Ramayah
Februari 23, 2022 16:59 MYT
Februari 23, 2022 16:59 MYT
KUALA LUMPUR: Kadar pelaporan kesan mudarat berikutan imunisasi (AEFI) bagi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun yang mendapat suntikan vaksin melalui Program Imunisasi COVID-19 Kanak-kanak (PICKids) direkodkan pada 0.1 laporan bagi setiap 1,000 dos.
Pengarah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Dr Roshayati Mohamad Sani berkata, daripada 383,165 dos yang diberikan setakat 18 Februari lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) menerima 37 laporan kesan advers tidak serius dan satu laporan serius.
"Sebanyak 37 laporan kesan advers tidak serius dan satu laporan serius telah diterima yang melibatkan kemasukan ke hospital dan telah pulih," katanya sesi libat urus bersama media berkaitan dengan laporan AEFI vaksin COVID-19 yang dikendalikan secara dalam talian di sini, pada Rabu.
Menurut Dr Roshayati, pihaknya menerima tambahan 20 laporan AEFI bagi PICKids sehingga 21
Februari 2022 dan kesemuanya adalah tidak serius yang menjadikan keseluruhan laporan adalah 58, setakat ini.
Namun demikian katanya, kadar pelaporan berbanding jumlah dos yang diberikan masih kekal sama.
Beliau menjelaskan, tindak balas stres akut atau acute stress response, demam, reaksi pada kulit dan sesak nafas adalah antara kesan advers yang kerap dilaporkan.
Dalam pada itu, bagi pelaporan AEFI dalam kalangan penerima dos penggalak direkodkan berjumlah 1,186 bersamaan kadar 86 laporan bagi setiap sejuta dos setakat 18 Februari lalu.
"Ini adalah lebih rendah daripada kadar keseluruhan pelaporan AEFI, 383 bagi setiap sejuta dos.
"Daripada jumlah laporan AEFI yang diterima bagi dos penggalak ini, 87 laporan atau 7.34 peratus daripada jumlah laporan AEFI diterima bagi dos penggalak diklasifikasikan sebagai serius bersamaan kadar 6.3 laporan bagi setiap juta dos," tambahnya lagi.
Dalam pada itu, Dr Roshayati memaklumkan terdapat pertambahan dua laporan kematian melibatkan penerima vaksin dos penggalak sehingga 18 Februari lalu, menjadikan keseluruhan 44 laporan.
"Sejumlah 22 laporan telah selesai penyiasatan dan dinilai oleh Jawatankuasa Khas Farmakovigilans Vaksin COVID-19 (JFK) dan didapati kematian tersebut tiada hubung kait dengan vaksin yang diterima.
"Oleh itu, terdapat 22 laporan lagi masih dalam proses untuk dilengkapkan sebelum boleh dibentangkan bagi penilaian oleh JFK. KKM akan sentiasa berkomunikasi dan mengemaskini perkembangan siasatan dari semasa ke semasa," ujarnya.
Sehingga 18 Februari lalu, daripada 65,777,392 dos vaksin COVID-19 yang telah diberikan di bawah PICK, beliau memberitahu, 13,768,697 dos adalah dos penggalak.