PICKids: Ciri baharu MySejahtera diperkenal untuk galakkan pendaftaran vaksin kanak-kanak
Hasimi Muhamad
Februari 4, 2022 08:00 MYT
Februari 4, 2022 08:00 MYT
KUALA LUMPUR: Fungsi baharu dikenali Sistem Janji Temu yang diwujudkan di aplikasi MySejahtera memberi kebebasan kepada ibu bapa untuk memilih kesesuaian tarikh, masa serta lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi mendapatkan janji temu untuk Program Vaksinasi COVID-19 Kanak-Kanak (PICKids).
Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit MySejahtera, Dr Husni Za'eem Abd Hadi berkata, ia merupakan antara penambahbaikan yang dilakukan bagi menggalakkan pendaftaran vaksin kepada kanak-kanak berusia lima tahun hingga 11 tahun yang bermula pada Khamis.
Jelas beliau, selepas pendaftaran dibuat, ibu bapa akan menerima pautan secara berperingkat melalui notifikasi di aplikasi MySejahtera atau sistem pesanan ringkas (SMS).
"Saya ingin tekankan pada ibu bapa yang telah mendaftarkan anak-anak untuk mendapat vaksin COVID-19, selain menunggu mendapatkan pautan, paling utama adalah memastikan jenis vaksin yang dipilih.
"Pastikan anda memilih Pfizer untuk kanak-kanak sebelum membuat pilihan tarikh, waktu, dan lokasi PPV dalam memastikan anda mendapatkan vaksin yang betul.
"Seterusnya (pastikan) anak-anak yang telah cukup tarikh lahir, contoh lahir pada 3 Februari (genap lima tahun), setelah 3 Februari baru boleh membuat janji temu," katanya ketika ditemui Astro AWANI di PPV Integrasi Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, pada Khamis.
Selain PPV WTCKL, dua lagi PPV integrasi yang mula beroperasi pada 3 Februari di Lembah Klang adalah Axiata Arena, Bukit Jalil dan Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam.
Mengulas lanjut, Dr Husni berkata sekiranya ibu bapa tersilap memilih jenis vaksin atau lokasi PPV, pembatalan slot janji temu boleh dibuat pada pautan yang disediakan sebelum membuat tempahan slot janji temu baharu.
"Pastikan ibu bapa mendaftar, dan seterusnya pautan akan mula dihantar secara berperingkat berdasarkan kawasan, tarikh pendaftaran dan sebagainya.
"Buat masa ini dibuka secara berperingkat dan Lembah Klang akan mula mendapat pautan (terlebih dahulu) sekiranya ibu bapa telah mendaftar di MySejahtera untuk anak-anak," tambahnya.
Sistem tempahan janji temu boleh didapati di aplikasi MySejahtera versi 1.1.5.
Terdapat sekurang-kurangnya 16 langkah mudah yang perlu diikuti oleh ibu bapa atau penjaga untuk mendaftarkan anak masing-masing di aplikasi MySejahtera.
Langkah tersebut termasuk mendaftarkan anak sebagai tanggungan vaksinasi.
Kemudian ibu bapa perlu menunggu pautan yang akan diberikan berdasarkan kriteria termasuk tarikh pendaftaran atau status komorbiditi.
Untuk memilih lokasi PPV pula, poskod atau nama PPV berdekatan boleh dimasukkan.