PICKids: 54,000 dos vaksin Pfizer tiba di Kuching
Fadilah Sulaiman
Mac 11, 2022 14:27 MYT
Mac 11, 2022 14:27 MYT
KUCHING: Sebanyak 54,000 lagi dos vaksin Pfizer untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada Khamis.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, pengambilan vaksinasi terhadap wabak ini memerlukan peranan semua lapisan masyarakat dalam usaha menangani penularan varian Omicron.
“Pada tahun 2020 situasinya orang menunggu vaksin, pada tahun 2021 pula vaksin menunggu orang,” katanya dalam satu hantaran di media sosialnya pada Khamis.
Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata kejayaan kadar vaksinasi yang tinggi di negeri ini adalah hasil kerjasama rapat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) serta orang awam.
“Tanpa guru, ibu bapa dan anak-anak sendiri, PICKids kami tidak akan dapat berjalan dengan lancar kerana kami kini menghampiri dos kedua," katanya
Setakat Khamis, PICKids Sarawak telah memvaksin 60.6 peratus daripada 272,500 kanak-kanak yang layak setelah program tersebut bermula serentak seluruh negara pada 3 Februari lalu.
Sela masa antara dos pertama dan kedua bagi kanak-kanak lima hingga 11 tahun adalah lapan minggu, namun bagi kanak-kanak yang immunocompromised, sela masa yang dicadangkan ialah 3 minggu.