PICK Remaja: KKM sasar 80 peratus dos lengkap menjelang Jan 2022

Firdaus Azil
September 20, 2021 09:34 MYT
KHAIRY: Apabila sekolah dibuka, kita mahu pastikan perlindungan untuk remaja. - Astro AWANI
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mensasarkan 60 peratus remaja lingkungan 12 dan 18 tahun mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang November ini.
Selain itu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, 80 peratus golongan berkenaan disasarkan untuk mendapat dos lengkap vaksin menjelang Januari 2022.
Beliau berkata, pengecualian hanya akan diberikan kepada remaja yang disahkan oleh doktor mempunyai sebab-sebab tertentu, seperti masalah kesihatan atau alahan terhadap vaksin.
“Di KKM, kita bersetuju untuk pemberian vaksin kepada remaja bukan sahaja kerana vaksin terbukti selamat, tetapi kita juga khuatir dengan peningkatan kes COVID-19 di kalangan remaja.
“Apabila sekolah dibuka, kita mahu pastikan perlindungan untuk remaja,” katanya kepada pemberita di Kick-Off Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Remaja (PICK Remaja), di SMK Putrajaya Presint 8(1), di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Pendidikan Datin Seri Nor Zamani Abdol Hamid, serta pegawai-pegawai kanan kedua-dua kementerian.
Sebelum ini, Khairy berkata, PICK Remaja yang dimulakan secara rasmi hari ini menyasarkan penglibatan 3.2 juta remaja berusia 12 hingga 17 tahun.
Pelaksanaannya dilakukan melalui beberapa kaedah termasuk jangkau luar (outreach) ke sekolah atau institusi secara berjadual, suntikan di klinik kesihatan dan hospital serta kaedah jumpa terus (walk-in) di pusat pemberian vaksin (PPV) terpilih di seluruh negara.
Sasar 3.2 juta remaja divaksin - KJ
Media sebelum ini melaporkan, lima negeri/wilayah akan melakukan PICK Remaja secara serentak selain Putrajaya, iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Kedah, Perlis dan Pahang.
Tiga negeri/wilayah yang telah memulakan program berkenaan sebelum ini ialah Sarawak pada 8 Sept, Labuan (11 Sept) dan Sabah (16 Sept).

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK Remaja) hari ini bermula secara serentak di enam negeri di Semenanjung Malaysia. Ikuti Sidang media Menteri Kesihatan @Khairykj dan Menteri Kanan Pendidikan @RadziJidin di @501Awani, 9am. pic.twitter.com/teN6Bki0sm

— Firdaus Azil (@FirdausAzil) September 20, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Dalam pada itu, Khairy berkata, SMK Putrajaya Presint 8(1) akan dijadikan pusat pemberian vaksin (PPV) sementara untuk Putrajaya.
Beliau berkata, beberapa PPV sedia ada di negeri-negeri akan dibenarkan untuk program walk-in khusus bagi golongan remaja 12 hingga 17 tahun.
“Alang-alang PPV masih beroperasi, kita akan umumkan senarai PPV negeri esok, yang remaja boleh pergi dapatkan suntikan vaksin secara walk-in,” katanya lagi.
Khairy berkata, bagi program imunisasi untuk remaja, golongan berkenaan perlu ditemani ibu bapa atau penjaga, dan tandatangani borang kebenaran di hadapan doktor yang bertugas di PPV tersebut.
Selain itu beliau berkata, ibu bapa dan penjaga berkenaan juga perlu menandatangani borang kebenaran berkenaan.
#PICK Remaja #vaksin COVID-19 untuk remaja #Khairy Jamaluddin #suntikan vaksin
;