PICK: JBPM laksana lebih 30 penerbangan ke pedalaman Gua Musang
Muhafandi Muhamad
September 18, 2021 10:42 MYT
September 18, 2021 10:42 MYT
GUA MUSANG: Lebih 30 penerbangan yang dilaksanakan Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ke pedalaman Gua Musang bagi menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bermula 15 September hingga semalam.
Menurut ketua cawangan Pengurusan Operasi Udara JBPM, Kapten Roslan Aziz sepanjang operasi pihaknya bertanggungjawab memastikan petugas kesihatan dan vaksin selamat tiba di lokasi ditetapkan.
"Terdapat banyak cabaran, keadaan cuaca tidak menentu dan gunung-ganang memaksa kami berpatah balik atau ubah lokasi.
"Namun vaksin yang kita hantar itu perlu berada dalam keadaan selamat dan tiba pada waktu yang ditetapkan," kata Roslan.
Menurut Roslan, Unit Udara JBPM menggunakan tiga buah helikopter iaitu A109E, AW139 dan MI-17.
Menurutnya lagi, kumpulan petugas kesihatan akan dihantar ke kawasan yang ditetapkan untuk melaksanakan vaksinasi dengan setiap penerbangan mengambil masa di antara 30 dan 40 minit untuk perjalanan pergi dan balik.
Tambahnya, kos operasi membabitkan bahan api dan jumlah jam penerbangan yang dilaksanakan bermula 15 September hingga semalam mencecah RM350,000.
"Kos pengoperasian pesawat A109E, AW139 dan MI-17 dianggarkan di antara RM11,000 dan RM17,000 sejam.
"Untuk kos operasi, anggaran kita RM300,000 ke RM350,000 yang kita gunakan setakat hari ini," kata Roslan.
Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kemajuan Hal Ehwal Orang Asli (JAKOA) memohon bantuan unit udara JBPM bagi menjayakan outreach vaksinasi masyarakat asli di pedalaman Gua Musang ekoran masalah pengangkutan serta jalan yang sukar dilalui dengan kenderaan pacuan empat roda.
Sepanjang tiga hari outreach vaksinasi ke atas masyarakat asli, ia mencapai sasaran yang ditetapkan oleh Jabatan Kesihatan Kelantan di mana sejumlah 561 Orang Asli membabitkan lebih tujuh penempatan orang asli berjaya menerima suntikan vaksin Cansino.