PICK: 12 juta vaksin diterima bulan ini, tiga bulan akan datang tempoh kritikal - Khairy
Afiezy Azaman
Julai 3, 2021 14:30 MYT
Julai 3, 2021 14:30 MYT
KUALA LUMPUR: Tempoh tiga bulan akan datang akan menjadi tempoh yang sangat sibuk dan kritikal dalam pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Menteri penyelarasnya, Khairy Jamaluddin berkata, ini susulan Malaysia akan menerima jumlah bekalan vaksin yang besar iaitu sebanyak 12 juta dos bermula Julai.
“Tempoh tiga bulan mendatang akan menjadi tempoh yang sangat sibuk dan kritikal dalam pelaksanaan PICK kerana seperti diumumkan sebelum ini Malaysia akan menerima jumlah bekalan vaksin yang sangat besar.
“Sebagai perbandingan jumlah vaksinasi yang dicatatkan semenjak PICK bermula pada Februari ialah sekitar lapan juta dos tetapi bagi bulan Julai ini sahaja kita akan menerima bekalan vaksin lebih daripada 12 juta dos.
“Sudah pasti bulan Julai akan menjadi tempoh yang genting buat PICK apabila kapasiti pemberian vaksin ditingkatkan di seluruh negara,” katanya dalam muat naik video di Twitter, pada Sabtu.
Sehubungan itu, kata Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, kapasiti vaksinasi di seluruh negara akan dipertingkatkan dengan pembukaan lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Sebanyak 1,500 klinik swasta dan 120 hospital swasta juga akan terlibat sebagai PPV bagi memudahkan orang ramai menerima vaksin mereka..
Ini ditambah dengan tenaga kerja kesihatan dan sukarelawan yang akan digerakkan di seluruh negara.
“Bagi memastikan cabaran pada bulan-bulan mendatang dilalui dengan teratur dan lancar kapasiti vaksinasi di seluruh negara akan ditingkatkan dengan pembukaan lebih banyak PPV selain menambah tenaga kerja kesihatan dan sukarelawan.
“Ketika ini sebanyak 1,400 PPV sedang beroperasi di seluruh negara, selain daripada PPV Mega kita sebenarnya telah membuka banyak PPV dalam pelbagai bentuk dan saiz.
“Ini termasuk PPV sementara di perkampungan Orang Asli, kita juga buka PPV di rumah ibadat, sekolah, universiti, dewan komuniti, tempat kerja, kawasan perladangan, restoran dan PPV Pandu Lalu serta unik bergerak yang telah memasuki kampung-kampung dan melaksanakan vaksinasi dari rumah ke rumah," kata Khairy.
Ahli Parlimen Rembau itu juga berkata, vaksinasi kepada masyarakat luar bandar yang tidak mempunyai aplikasi MySejahtera juga dipermudahkan.
Selain itu Katanya rekod vaksinasi hanya akan dimuat naik dalam sistem sekiranya mereka menerima suntikan vaksin.
#Khairy Jamaluddin
#Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan
#PICK
#MySejahtera
#PPV
#COVID-19
#vaksin
#suntikan
#Pusat Pemberian Vaksin
#Malaysia