Piala Thomas: June Wei layak jadi perseorangan kedua negara - Roslin
Astro Arena
September 7, 2021 06:46 MYT
September 7, 2021 06:46 MYT
KEHADIRAN Lee Zii Jia masih belum boleh mendatangkan gerun pasukan lawan dan Cheam Jun Wei layak beraksi sebagai perseorangan kedua negara dalam Kejohanan Badminton Piala Thomas bulan depan, demikian pandangan finalis dua kali dan bekas perseorangan lelaki nombor satu dunia, Roslin Hashim.
Buat kali pertama sejak 2004, Malaysia akan turun dalam saingan Piala Thomas tanpa bekas perseorangan utama, Datuk Lee Chong Wei.
Tugas Chong Wei kini akan digalas juara Kejohanan Seluruh England, Zii Jia, dan Roslin berasakan June Wei, yang pernah membantu skuad negara sehingga layak ke final Kejohanan Berpasukan Asia tahun lalu, wajar diberikan peluang sebagai perseorangan kedua.
Roslin turut berasakan Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, berupaya membentuk skuad masa depan negara berdasarkan kekuatan pemain muda seperti Lim Chong King, Ng Tze Yong, Aidil Sholeh Ali Sadikin dan Jastin Hoh, yang kini sedang menjalani pemilihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) bagi merebut tempat ke kejohanan berpasukan itu.
"Sudah tentu Cheam June Wei (sebagai perseorangan kedua) kerana dia mempunyai pengalaman," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Shahrazad Sani.
"BAM juga perlu melihat kepada pemain yang masih muda seperti Chong King dan Aidil Sholeh.
"Walaupun mereka masih baru, BAM perlu melihat prestasi sebelum ini dan prestasi terkini walaupun mereka tidak banyak menyertai kejohanan, jadi ia perlu diteliti dengan sebaik mungkin.
"Bagi saya, ini sebenarnya cabaran buat mereka (pemain muda). Apabila sudah terpilih, mereka perlu menggunakan peluang ini sebaik mungkin dan membuktikannya kepada negara-negara lain.
"Sudah pasti negara lain ketika ini sudah tidak berasa gerun melihat skuad Malaysia tetapi apa yang boleh saya katakan, hanya pemain-pemain inilah yang kita ada, jadi mahu tidak mahu, kita perlu terima.
"Pemain yang terpilih perlu menggalas tugas mereka dengan sebaik mungkin," katanya.