Piala Asia: Pemuda OKU dapat jumpa pemain Harimau Malaya di Qatar
Hasimi Muhamad
Januari 18, 2024 23:44 MYT
Januari 18, 2024 23:44 MYT
KISAH penyokong Harimau Malaya, Muhammad Ridzwan Efendi yang cacat penglihatan mencuri tumpuan ramai selepas kekurangan fizikal yang dimilikinya tidak menghalang untuk dia memberikan sokongan kepada skuad Harimau Malaya di Doha, Qatar.
Susulan semangat yang ditunjukkan pemuda berusia 27 tahun itu, anak buah Kim Pan Gon hari ini berkesempatan menyantuni Muhammad Ridzwan sebelum skuad Harimau Malaya turun ke padang latihan.
Menerusi perkongsian di laman Facebook Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Muhammad Ridzwan berkesempatan berbual dengan beberapa pemain, antaranya Faisal Halim, Shahrul Saad serta Arif Aiman Hanapi.
Selain itu, Pan Gon turut dilihat meluangkan masa bertemu Muhammad Ridzwan yang ditemani abangnya, Raff Iskandar Erman Effendi.
Kenyataan tersebut menambah pertemuan itu merupakan inisiatif yang diatur oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin sebagai tanda penghargaan buat Muhammad Ridzwan.
Media sebelum ini melaporkan Muhammad Ridzwan yang cacat penglihatan sejak lahir terbang ke Qatar bagi memberikan sokongan kepada skuad Harimau Malaya.
Dia mendapat bantuan daripada abangnya, yang melakukan simulasi menggunakan tangan bagi memberi isyarat mengenai situasi yang berlaku di atas padang sepanjang perlawanan.
Malaysia tumbang 0-4 kepada Jordan pada penampilan pertama di pentas Piala Asia dalam aksi Kumpulan E pada 16 Januari lalu.
Malaysia akan membuat perhitungan dengan Bahrain, Sabtu ini di Stadium Jassim Bin Hammad, sebelum menutup saingan kumpulan bertemu juara dua kali Korea Selatan pada 25 Januari.
Ini merupakan penampilan keempat Malaysia di pentas Piala Asia, yang menyaksikan pasukan negara terkandas di peringkat kumpulan dalam tiga edisi terdahulu masing-masing pada edisi 1976 di Iran, 1980 (Kuwait) dan ketika menjadi tuan rumah bersama pada 2007.