Piala Asia B-23: Peluang Harimau Muda ke suku akhir semakin pudar
Bernama
April 21, 2024 08:00 MYT
April 21, 2024 08:00 MYT
KUALA LUMPUR: Peluang skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara melangkah ke suku akhir Piala Asia B-23 2024 semakin pudar selepas tewas buat kali kedua berturut-turut dalam saingan Kumpulan D apabila tumbang 0-2 kepada Vietnam di Stadium Antarabangsa Khalifa, Doha di Qatar, malam tadi.
Dengan kekalahan itu selepas tewas 0-2 kepada Uzbekistan pada perlawanan pembukaan menyaksikan skuad Harimau Muda semakin sukar meneruskan kempen memandangkan nasib mereka bergantung kepada keputusan pasukan lain selain perbezaan jaringan besar.
Skuad negara kini berada di tangga tercorot Kumpulan D tanpa sebarang mata manakala Vietnam di tangga teratas dengan enam mata manakala Uzbekistan di tangga kedua dengan tiga mata sementara mendahului Kuwait 1-0 dalam satu lagi aksi di Stadium Al-Janoub.
Skuad bimbingan Juan Torres Garrido menghantar amaran seawal minit ketiga menerusi percubaan leret Fergus Tierney namun tersasar di bahagian kanan pintu gol Vietnam, sebelum Malaysia dilayangkan kad kuning pertama pada minit ke-12 apabila terdapat sentuhan badan antara Muhammad Khalil dan Nguyen Van Truong.
Walaupun terus memberikan asakan bertali arus ke kubu Vietnam namun Muhammad Najmudin Akmal mensia-siakan peluang membuka jaringan pada minit ke-21 selepas percubaannya melambung tinggi meskipun penjaga gawang, Quan Van Chuan sudah terkeuar daripada kawasannya.
Selain kesilapan Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili berbalas tarikan baju bersama Vo Nguyen Hoang tidak sepatutnya berlaku apabila ia menghadiahkan sepakan percuma buat pasukan Vietnam yang dimanfaatkan dengan tenang oleh Khuat Van Khang pada minit ke-39.
Bersambung babak kedua, pertukaran dilakukan Juan Torres hampir menunjukkan perubahan positif namun tidak dinafikan anak buah Hoang Anh Tuan lebih mendominasi permainan.
Episod sama terus 'menghantui' Harimau Muda apabila mereka terus 'bermurah hati' melakukan kesilapan dengan Muhammad Ubaidullah kali ini menjatuhkan Bui Vi Hao pada minit ke-58, sebelum peluang itu disempurnakan Vo Hoang Minh Khoa dua minit kemudian (60') menerusi sepakan penalti.
Harimau Muda seterusnya akan melengkapkan saingan kumpulan dengan menentang Kuwait di Stadium Al-Janoub sementara Uzbekistan akan berdepan Vietnam di Stadium Antarabangsa Khalifa, Selasa ini.
Malaysia yang pernah mara sehingga ke peringkat suku akhir pada edisi 2018 menyasarkan untuk menyamai pencapaian itu pada kempen kali ini.
Hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke suku akhir dan berpeluang meneruskan cabaran merebut tiga slot automatik ke Sukan Olimpik Paris 2024 manakala pasukan keempat terbaik kejohanan akan bermain perlawanan play-off bertemu Guinea di Paris, Mei ini.
Sementara itu, Juan Torres berkata dua kekalahan tersebut tidak akan melunturkan semangat anak buahnya untuk meneruskan saingan hingga ke akhir kempen tersebut.
Bagaimanapun beliau menjanjikan pasukan negara akan lebih bersedia menghadapi Kuwait.
-- BERNAMA