Pharmaniaga urus logistik, pengedaran vaksin AstraZeneca

Astro Awani
Julai 3, 2021 04:45 MYT
Vaksin itu akan dihantar ke Pusat Penyimpanan Vaksin dan Pusat Pengedaran Vaksin di seluruh negara. - Foto Pharmaniaga
KUALA LUMPUR: Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd (PLSB) akan menguruskan logistik dan pengedaran lebih lapan juta dos vaksin AstraZeneca di empat gudangnya di Selangor, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.
Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga, Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata, anak syarikat milik penuh kumpulan, PLSB telah dipilih dalam tender terbuka Kementerian Kesihatan kerana memiliki infrastruktur, kemudahan dan kemampuan dengan lebih 26 tahun rekod prestasi menguruskan vaksin.
"Kami sebelum ini telah menguruskan 828,000 dos vaksin AstraZeneca dari Kemudahan COVAX dan pada 1 Julai, menerima 1 juta dos yang disumbangkan oleh kerajaan Jepun kepada Malaysia.
"Semua vaksin ini disimpan di gudang yang diperakui Amalan Pengagihan Baik (PDB) kami yang mempunyai kemudahan rangkaian sejuk bertaraf farmasi yang dapat mengekalkan suhu antara dua hingga lapan darjah Celsius," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, vaksin itu akan dihantar ke Pusat Penyimpanan Vaksin dan Pusat Pengedaran Vaksin di seluruh negara seperti yang diarahkan oleh KKM untuk menyokong Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Katanya, ia termasuk vaksin AstraZeneca 19 yang diterima melalui AstraZeneca, Kemudahan COVAX dan juga sumbangan oleh kerajaan asing.
Pada Jumaat, Pharmaniaga Berhad menerima kumpulan pertama daripada 586,700 vaksin AstraZeneca yang dihantar dari Siam Bioscience Co Ltd, Thailand untuk kerajaan di bawah PICK.
Vaksin tersebut diserahkan kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba oleh Presiden Negara AstraZeneca Malaysia, Dr Sanjeev Pachal di gudang Pharmaniaga di Shah Alam.
#Pharmaniaga #PLSB #vaksin #COVID-19 #AstraZeneca #KKM #Kumpulan Pharmaniaga #zulkarnain md eusope
;