Pharmaniaga sasar proses 80,000 dos vaksin sehari

Fauzi Suhaimi
Februari 28, 2021 05:50 MYT
Pharmaniaga menyasarkan sebanyak 80,000 dos vaksin akan dibotolkan dalam tempoh sehari. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga), Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd (PLS) menyasarkan sebanyak 80,000 dos vaksin akan dibotolkan dalam tempoh sehari.
Timbalan Pengarah Urusan Pharmaniaga, Mohamed Iqbal Abd Rahman berkata, jumlah itu mengambil kira kekangan pembersihan kilang yang akan dibuat selepas 18 jam sehari.
"Pharmaniaga mampu untuk memproses 80,000 dos dalam masa sehari. Tetapi kami juga berpandukan kepada jumlah pemprosesan yang dilakukan pengilang asal.
"Mengapa ada kekangan 80,000 ini kerana, kita perlu pembersihan kilang kami setiap 18 jam bagi memastikan kilang yang memproses vaksin ini sentiasa berada dalam keadaan bersih.
"Daripada segi prosesnya, kita mengambil sedikit sampel dan uji sendiri sampel tersebut selain menghantar sampel itu kepada agensi luar seperti SIRIM Berhad agar produk yang dihasilkan itu bertepatan dengan apa yang dijanjikan," katanya kepada Astro AWANI di sini, pada Ahad.
BACA: Ketibaan vaksin Sinovac jadi pencapaian penting bagi Pharmaniaga
BACA: Ikuti perkembangan berita terkini vaksin COVID-19. KLIK di sini
BACA: [LAPOR LANGSUNG] 300,000 dos vaksin Sinovac tiba di Malaysia
Dalam pada itu, Mohamed Iqbal berkata, usaha yang dilakukan Pharmaniaga dilihat mampu mewujudkan kepakaran tempatan dalam penghasilan vaksin pada masa akan datang.
"Banyak negara telah lakukan pengilangan vaksin ini dan kita tidak pernah buat, jadi untuk jangka masa panjang, kita mampu mewujudkan pengilangan vaksin sendiri.
"Selain itu, usaha itu juga sudah tentu mengurangkan perbelanjaan kerajaan dan menjimatkan kos daripada membeli vaksin daripada negara luar serta mengembangkan industri sampingan yang berkaitan," jelasnya.
#pharmaniaga berhad #Mohamed Iqbal Abd Rahman #Pharmaniaga LifeScience #Sinovac #vaksin #COVID-19 #penghasilan vaksin #bungkus