Pharmaniaga jamin bekalan vaksin Sinovac mencukupi untuk rakyat Malaysia

Ehsan A Marisah
Jun 5, 2021 19:27 MYT
Pharmaniaga dan pihak kerajaan sedang dalam usaha mengeluarkan vaksin dengan kadar segera demi keselamatan semua.
KUALA LUMPUR: Pharmaniaga Bhd (Pharmaniaga) memberi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa bekalan vaksin Sinovac dari China adalah mencukupi sekali gus membantu mempercepatkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata, pihaknya sudah menyedari permintaan terhadap vaksin itu akan meningkat dan telah melakukan persiapan awal berikutan lonjakan kes COVID-19 negara.
“Bagi membantu kerajaan, sekarang ini kita (Pharmaniaga) sedang berusaha gigih untuk mendapatkan vaksin dari China ini selain menghasilkan sebanyak dua juta dos sebulan atau lebih kurang 500,000 dos pada setiap minggu.
“Kita juga melihat semula dan membuat pindaan perjanjian untuk membantu mempercepatkan proses pemberiannya, selain 10 juta tempahan awal vaksin Sinovac sudah dibuat susulan peningkatan permintaan setelah kelulusan diberikan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan jika ada kelewatan daripada pihak pengeluar vaksin yang lain,” katanya ketika ditemu bual dalam Program Agenda AWANI, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Zulkarnain menambah, inisiatif membekalkan vaksin secara ‘fill and finish’ yang dilaksanakan pihaknya dengan kerajaan akan memberikan pelbagai kelebihan kepada negara.
“Pertamanya, vaksin ini (fill and finish) akan mengurangkan kos penghasilan vaksin kerana membelinya secara pukal dan dikilangkan oleh kepakaran tempatan di kilang kami, di Puchong.
“Selain itu, pemindahan teknologi dari segi penghasilannya kerana belum pernah ada vaksin dihasilkan di Malaysia, ini merupakan kejayaan pertama buat negara yang mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA)," ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau menambah, keyakinan diberikan oleh pihak Sinovac juga menjadi penanda aras terhadap kepakaran anak tempatan dalam penghasilan vaksin.
“Kilang yang melakukan vaksin Sinovac ‘fill and finish’ di Asia Tenggara hanya ada di Malaysia dan Indonesia sahaja selain kita juga bimbang sekiranya ada varian baharu yang wujud. Jika tidak bangunkan kepakaran kita sendiri, kita akan terus bergantung kepada kepakaran luar.
“Pihak kerajaan dan kami (Pharmaniaga) sedang dalam usaha mengeluarkan vaksin dengan kadar segera demi keselamatan semua, jangan bimbang dan yakinlah vaksin ini terbaik untuk semua,” ujarnya lagi.
Agenda AWANI: Vaksin Sinovac | Manfaat untuk semua
#vaksin COVID-19 #Sinovac #COVID-19 #Bahagian Regulatori Farmasi Negara #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #PICK #Pharmaniaga #Pertubuhan Kesihatan Sedunia #WHO #AstraZeneca #Pfizer-BioNTech #Agenda Awani #China #Pusat Pemberian Vaksin
;