Pharmaniaga, Bionet meterai Perjanjian Kolaborasi Penyelidikan Vaksin Hexavalent Kanak-kanak
Astro Awani
Disember 13, 2022 18:41 MYT
Disember 13, 2022 18:41 MYT
KUALA LUMPUR : Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) melalui anak syarikatnya, Pharmaniaga LifeScience Sdn Bd (PLS), menandatangani Perjanjian Kerjasama Penyelidikan (RCA) dengan BioNet-Asia Co Ltd (BioNet) yang berpangkalan di Thailand bagi membangunkan vaksin kombinasi 6 dalam 1 (Vaksin Hexavalent) untuk kanak-kanak di Malaysia.
Inisiatif itu selaras dengan perancangan Pharmaniaga untuk membangunkan kilang vaksin dan halal di dunia yang akan turut membantu Malaysia mengurangkan kebergantungan kepada vaksin penting yang dimport.
Pengeluaran tempatan juga akan meningkatkan jaminan bekalan ubat-ubatan negara dalam menghadapi ancaman pandemik pada masa hadapan.
RCA itu ditandatangani Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga, Datuk Zulkarnain Md Eusope dan Presiden BioNet, Vitoon Vonghangool, sambil disaksikan Pengerusi Pharmaniaga, Datuk Seri Zainal Abidin Mohd Rafique dan Ketua Pegawai Eksekutif BioNet, Dr Hong Thai Pham.
Zulkarnain berkata RCA itu adalah usaha untuk memulakan proses pembangunan Vaksin Hexavalent gabungan 6 dalam 1 untuk kanak-kanak di Malaysia dengan menyaksikan Pharmaniaga dan BioNet membangunkan formulasi yang dijadual siap pada akhir tahun 2023.
"Pharmaniaga akan menjalankan ujian pra-klinikal dan klinikal secara melas untuk menunjukkan tindak balas imun pelindung Vaksin Hexavalent terhadap enam jenis penyakit - difteria (DT), tetanus (TT), pertusis (aP), poliomielitis (IPV), Haemophilus jenis b (Hib), dan hepatitis B (Hep-B).
"Ia akan menjadi vaksin gabungan path Halal pertama yang dihasilkan di Malaysia. Sebaik sahaja siap menghasilkan Vaksin Hexavalent formulasi, syarikat akan berganding bahu dengan pengusaha-pengusaha vaksin di peringkat antarabangsa bagi mempercepatkan program kami agar dapat memenuhi permintaan untuk vaksin yang berkualiti tinggi, selamat dan berkesan ini," katanya lagi.
Ujar beliau, Vaksin Hexavalent in dijangka siap dibangunkan dan mendapat kelulusan menjelang 2026, untuk digunakan di Malaysia dan negara-negara strategik lain dengan unjuran nital pasaran tempatan tahunan melebihi RM200 juta dan pasaran serantau tahunan dianggarkan berjumlah RM600 hingga RM700 juta.
Dalam pada itu, Presiden BioNet, Vitoon Vonghangool melahirkan penghargaan kepada Pharmaniaga kerana memilih BioNet sebagai rakan kongsi pembangunan Vaksin Hexavalent.
"Kami bangga Pharmaniaga memilih BioNet sebagai rakan kongsi untuk membangunkan Vaksin Hexavalent yang mengandungi vaksin pertusis rekombinan.
"Tahap keselamatan dan tindak balas imun yang lebih tinggi telah ditunjukkan dalam banyak ujian klinikal vaksin jenis ini. Vaksin 6 dalam 1 ini akan menjadi produk pelopor dan solusi kepada isu-isu yang dikaitkan dengan vaksin gabungan pediatrik pertusis aselular yang dipasarkan pada masa kini," ujarnya.