Pharmaniaga bersedia untuk edaran vaksin COVID-19

Isabelle Leong
November 20, 2020 09:55 MYT
Menurut Datuk Zulkarnain Md Eusope, Pharmaniaga bersedia untuk membotol dan mengedar vaksin COVID-19 sebaik sahaja vaksin diimport masuk ke negara ini. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Rangkaian pembotolan dan logistik pengedaran Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) yang memberi khidmat sokongan kesihatan awam seluruh Malaysia bersedia untuk membotol dan mengedar vaksin COVID-19 sebaik sahaja vaksin diimport masuk.
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga Berhad, Datuk Zulkarnain Md Eusope, sekiranya vaksin itu diedarkan pada suhu dua hingga lapan darjah Celcius, ia tidak menjadi masalah kepada syarikat berkenaan untuk mengendalikannya.
Beliau turut berpendapat, masalah penyimpanan vaksin seperti syarikat farmaseutikal Pfizer yang memerlukan suhu simpanan serendah -25 darjah Celsius dan ke bawah itu bukan sahaja dihadapi di negara ini, malah juga di negara lain termasuk Amerika Syarikat (AS).
“Buat masa ini, Pharmaniaga dan syarikat pengedaran lain di Malaysia belum lagi berkemampuan menyimpan dan mengedarkan sehingga negatif 70 darjah Celsius," katanya dalam sidang media selepas taklimat prestasi kewangan Pharmaniaga suku ketiga berakhir 30 September 2020 secara maya di sini pada Jumaat.
“Perkara ini bukan sahaja menjadi perbahasan di Malaysia tetapi turut menjadi permasalahan di AS dan Eropah. Adakah hospital dan pengedar mampu menyediakan kemudahan penyimpanan seperti itu?" katanya.

Terdapat 10 vaksin COVID-19 yang sedang diteliti oleh KKM yang telah memasuki FASA III kajian klinikal KKM akan menganalisis untuk melihat aspek keselamatan serta keberkesanan vaksin tersebut sebelum diluluskan penggunaannya. Bersama putuskan rantaian COVID-19#COVID19 pic.twitter.com/hkestq0tDS

— KKM Portal MyHealth (@MyHEALTHKKM) November 20, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
BACA: Ujian akhir dapati vaksin Pfizer 95 peratus berkesan, tiada isu keselamatan
BACA: Vaksin Pfizer tidak akan berada di pasaran dalam masa terdekat, ini sebabnya...
BACA: COVID-19: Penemuan Moderna mudahkan pengurusan vaksin - Pakar
Turut hadir pada sidang media tersebut ialah Timbalan Pengarah Urusan Pharmaniaga, Mohamed Iqbal Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Kewangan Pharmaniaga, Norai'ni Mohamed Ali.
Ketika ditanya, tahap kesiapsagaan bagi proses ‘fill and finish’ atau pembotolan vaksin COVID-19, Zulkarnain berkata, kilangnya sudah 80 peratus bersedia dan hanya menunggu keputusan kerajaan dalam membuat pembelian vaksin berkenaan.
“Dari segi kapasiti, logistik dan pengedaran, Pharmaniaga sudah bersedia untuk pembotolan vaksin ini.
“Ia kerana kami mempunyai pengalaman lebih 25 tahun dalam pelaksanaan, pengedaran dan penghantaran vaksin ke semua klinik serta hospital di seluruh negara,” ujar beliau.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Pharmaniaga juga mempunyai keupayaan untuk menjual vaksin berkenaan dan jika terdapat vaksin lain selain yang dibeli kerajaan, pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk turut mengedarkannya.
Selain daripada menjadi pembekal kepada hospital atau jaringan institusi kesihatan awam di negara ini, Pharmaniaga juga akan menyediakan vaksin di pasaran terbuka pada suku kedua 2021.
Dalam perkembangan lain, Pharmaniaga, katanya, akan mewujudkan kemudahan vaksin halal pertama di dunia dan mensasarkan pengeluarannya bermula pada tahun 2024.
#Pharmaniaga #vaksin #COVID-19 #Pfizer #Amerika Syarikat #Mohamed Iqbal Abdul Rahman #Norai'ni Mohamed Ali #vaksin halal