PH tolak cadangan laksana semula GST

Hilmi Malik
Jun 1, 2022 15:48 MYT
Rakyat akan mnenerima tekanan yang amat dahsyat sekiranya GST diperkenalkan semula, tegas Majlis Presiden Pakatan Harapan.
KUALA LUMPUR : Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk melaksanakan semula sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
Cadangan pelaksanaan semula GST, tegas PH, tidak bersesuaian ketika negara sedang berdepan dengan inflasi yang semakin tinggi termasuk mereka yang masih terkesan akibat pandemik.
Majlis Presiden PH turut memberi amaran pengenalan semula GST bakal mengakibatkan harga barang meningkat dengan mendadak.
“Jika ditambah dengan masalah rantaian bekalan serta gaji yang tidak meningkat, rakyat akan menerima tekanan yang amat dahsyat,” kata Majliis Presiden PH dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, kerajaan seharusnya sedar bahawa majoriti rakyat telah menolak GST pada pilihan raya yang lalu.
Dalam pada itu, Majlis Presiden PH berpendapat, usaha untuk kembali mengutip cukai tersebut juga tidak wajar ketika negara masih terpalit dengan skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) selain belum berjaya membuktikan urus tadbir kerajaan yang lebih baik.
“Adalah tidak munasabah kerajaan bercadang untuk mengutip lebih banyak cukai dari rakyat tanpa membuktikan dahulu reformasi dan penambahbaikan urustadbir kerajaan telah berjaya dilaksana.
“Tiada guna mengutip lebih banyak cukai jika akhirnya nanti duit rakyat dibazirkan akibat rasuah, ketirisan dan kronisme,” memetik kenyataan itu lagi.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi bayangan untuk memperkenalkan semula GST.
Ujarnya, langkah itu merupakan usaha kerajaan bagi menambah pendapatan negara bagi menangani kenaikan inflasi dan kos sara hidup rakyat.
#GST #ismail sabri yaakob #Pakatan Harapan #pandemik
;