PH tidak setuju tindakan ugut Tok Batin - Dr Wan Azizah

Rahimah Abdullah
Januari 13, 2019 10:37 MYT
DR WAN AZIZAH: PH tidak bersetuju dengan ugutan dibuat Senator Bob Manolan Mohamad. -Gambar fail
Pakatan Harapan (PH) tidak bersetuju dengan ugutan dibuat Anggota Dewan Negara, Senator Bob Manolan Mohamad yang menyentuh kedudukan Tok Batin di Cameron Highlands jika mereka tidak menyokong parti itu.
Menurut Presiden Pakatan Harapan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, setiap anggota dalam parti perlu berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan.
Justeru, beliau menyerahkan sebarang tindakan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Saya biarkan kepada Presiden baharu (PKR). Memang kita tidak setuju dia memberi ugutan. Mana-mana pun kita perlu berhati-hati dengan apa yang kita ucapkan," kata Dr Wan Azizah kepada media selepas merasmikan Konvensyen Malaysia Positif 2019 di Kompleks Perbadanan Putrajaya.
Pada Jumaat, sebuah portal tempatan melaporkan Bob telah mengugut Tok Batin di Cameron Highlands dengan memberi amaran bahawa mereka boleh kehilangan jawatan dan gaji jika tidak menyokong kerajaan persekutuan hari ini.
#Anwar Ibrahim #Cameron Highlands #Dewan Negara #kerajaan #Malaysia #Media #Pakatan Harapan #PKR #Putrajaya #Tok Batin #Wan Azizah