PH sedia kerangka besar bina semula negara, fokus pada rakyat - Anwar
Hilmi Malik
Ogos 26, 2022 16:07 MYT
Ogos 26, 2022 16:07 MYT
SUBANG JAYA : Pakatan Harapan (PH) akan menyiapkan kerangka besar dalam usaha membawa Malaysia sebagai sebuah negara yang kukuh termasuk soal ekonomi.
Menurut Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerangka tersebut meliputi aspek penyatuan rakyat, isu pendidikan, perubahan alam sekitar dan kemanusiaan serta nilai kemanusiaan.
“Hari ini kita lontarkan idea dan pandangan penting untuk majukan negara. Jadi kita akan sediakan kerangka untuk kemampanan ekonomi negara, kelestarian alam sekitar dan rakyat berkasih sayang.
“Bagaimanapun, ia bergantung kepada tonggaknya (pentadbiran) yang perlu tata kelola yang baik. Tanpa ini (tata kelola yang baik), masalah tak selesai, negara tak akan maju malah mendatangkan masalah pada masa akan datang,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap di seminar Pathway To Be A Better Future For Malaysia anjuran Institut Darul Ehsan, di sini, pada Khamis.
Kata Presiden Parti Keadilan Rakyat itu lagi, kerangka berkenaan turut mengambil kira soal kepercayaan rakyat terhadap perjuangan yang dibawa gabungan politik tersebut.
“Ini lebih penting daripada material. Ini nilai makruf, kebaikan yang dibawa. Ada yang kata ini hanya andaian, biarkanlah. Ini langkah keselamatan negara,” katanya lagi.