PH, PN, BN gagal laksana Pelan Antirasuah Nasional - C4

Ridauddin Daud
September 30, 2022 18:04 MYT
Laporan itu juga mendapati kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mewujudkan memorandum persefahaman (MoU) dengan pembangkang berjaya melakukan beberapa reformasi dalam pentadbiran dengan kelulusan beberapa akta baharu.
KUALA LUMPUR: Tiada kerajaan, baik Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH) berjaya melaksanakan sebaiknya Pelan Antirasuah Nasional (NACP) yang diperkenalkan pada 2019.
Walaupun PH dilihat seolah-olah lebih bersedia untuk memulakan dan mencadangkan pembaharuan, namun, gabungan itu tetap gagal untuk benar-benar komited kepada perubahan besar-besaran dalam negara.
Demikian antara dapatan kajian Malaysia Government Reform Tracker Report daripada Pusat Untuk Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center) yang disediakan Pengurus Program C4 Center dan juga penulis laporan tersebut, Sudhagaran Stanley.
BACA: Lebih banyak inisiatif NACP dijangka selesai pada 2022 - GIACC
Menurut C4 Center, kerajaan PN pula didapati tidak begitu berminat untuk mengubah tadbir urus Malaysia ke arah lebih baik.
Sebaliknya, laporan itu mendakwa, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin lebih berminat untuk mengekalkan kuasa dalam apa cara sekalipun termasuk mengetepikan akauntabiliti.
AIGA 2022 | Bantu turunkan Indeks Persepsi Rasuah Malaysia
Laporan itu juga mendapati kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mewujudkan memorandum persefahaman (MoU) dengan pembangkang berjaya melakukan beberapa reformasi dalam pentadbiran dengan kelulusan beberapa akta baharu.
Situasi itu menunjukkan pembaharuan kepada institusi demokrasi di Malaysia boleh dicapai sekiranya ada kemahuan politik untuk berbuat demikian.
“Hari ini, reformasi yang kita bincangkan pada peringkat ini, hanya berlaku selepas pilihan raya 2018, kejatuhan kerajaan 2018 kerana Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan skandal 1MDB dan sebagainya.
PRU15 | Undi 18 harap Pelan Antirasuah Nasional dilaksanakan
“Ia membolehkan keseluruhan agenda reformasi menjadi pusat perbincangan. Orang ramai tidak akan bercakap mengenai agenda reformasi seperti yang kita bercakap pada hari ini kira-kira enam atau tujuh tahun lalu.
“Tetapi hari ini hampir setiap orang tahu apa yang kita bincangkan apabila kita sebut perkataan reformasi, antirasuah dan lain…semua orang sedang berbincang perkara itu.
“Ia telah menjadi topik tumpuan dan UMNO juga bercakap tentang reformasi, PN bercakap tentang reformasi dan ia kini menjadi tumpuan utama parti politik,” kata Sudhagaran ketika membentangkan hasil kajian itu pada Jumaat.
Antirasuah | NACP masuk fasa akhir pelaksanaan
Tambahnya, C4 Center akan terus memerhati parti politik dan mengenal pasti yang mana lebih cenderung untuk melaksanakan agenda pembaharuan terutamanya selepas pilihan raya kelak.
Tegasnya, tiada sebab untuk parti politik meminta tempoh dua atau tiga tahun lagi kerana semuanya sudah ada, tinggal mahu atau tidak untuk laksanakannya sahaja.
NACP dilancarkan pada 2019 merangkumi 115 inisiatif di bawah enam bidang utama iaitu tadbir urus politik, pentadbiran sektor awam, perolehan awam, perundangan dan kehakiman, penguatkuasaan undang-undang dan tadbir urus korporat.
#NACP #Muhyiddin Yassin #ismail sabri yaakob #Barisan Nasional #Pakatan Harapan #PN
;