PH perlu buat perubahan drastik, elak jadi kerajaan sepenggal - Muhyiddin

Wan Syamsul Amly
November 19, 2019 13:00 MYT
Muhyiddin turut melahirkan rasa terkejut kerana banyak kajian dari badan-badan pemikir tidak selari dengan keputusan PRK akhir-akhir ini. - Gambar fail
Pakatan Harapan (PH) perlu melakukan perubahan drastik dalam strategi selain penyusunan semula apa sahaja aspek termasuk membuat rombakan.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan, ia sangat penting untuk mengelakkan PH sendiri menjadi kerajaan sepenggal.
“Pertamanya sama ada strategi yag kita susun, gambaran besar soal dasar Pakatan Harapan (PH), masalah kepimpinan dan ini sedang kita teliti.
“Esok kita akan ada mesyuarat dan saya akan bentangkan laporan, kita akan dapatkan satu arahan baru dan ia amat diperlukan untuk perubahan drastik dalam banyak bidang.
“Polisi kita, soal kesatuan dalam PH, dasar-dasar yang lebih prorakyat boleh dilaksanakan, soal pembangunan ekonomi adalah agenda penting,” katanya semasa ditemui di lobi Parlimen di sini, pada Selasa.
Muhyiddin berkata demikian bagi mengulas kekalahan PH dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Sabtu lalu.
Dalam pada itu Muhyiddin turut melahirkan rasa terkejut kerana banyak kajian dari badan-badan pemikir tidak selari dengan keputusan PRK akhir-akhir ini.
Kajian Institut Darul Ehsan (IDE) sebelum ini menunjukkan PH mendahului Barisan Nasional (BN) lebih sembilan mata pada PRK Tanjung Piai.
Kajian itu turut menunjukkan baki tiga peratus akan memberikan undi mereka kepada calon Berjasa, Datuk Ir Badhrulhisham Abd Aziz; calon Gerakan, Wendy Subramaniam dan dua calon Bebas iaitu Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.
#agenda #Barisan Nasional #Muhyiddin Yassin #Pakatan Harapan #pilihan raya #pilihan raya kecil #Presiden Bersatu
;