PH optimis bina 100,000 rumah mampu milik dan kos rendah tahun ini

Sahlizah Mohamed
Februari 19, 2019 06:00 MYT
Menurut Zuraida, pembinaan akan diadakan di beberapa buah negeri antaranya Pahang dan Pulau Pinang. - Astro AWANI
Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sudah mengenal pasti lokasi 100,000 buah rumah mampu milik dan kos rendah untuk dibangunkan pada tahun ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, pembinaan akan diadakan di beberapa buah negeri antaranya Pahang dan Pulau Pinang.
"Ia turut meliputi pembangunan di kawasan bandar, pembangunan di kawasan berkelompok, kawasan yang mempunyai infrastruktur dan pengangkutan yang kukuh," katanya pada Selasa.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Gerakan yang menyifatkan pengumuman kerajaan membina sejuta unit rumah mampu milik dan rumah kos rendah dalam tempoh 10 tahun sebagai satu lagi pembohongan dan janji populis PH untuk kekal berkuasa.
Terdahulu, Zuraida hadir merasmikan majlis penutup World Urban Forum 2019 di Pusat Konvesnyen Kuala Lumpur.
"Saya tak tahu lah Gerakan. Pada saya, mereka pernah menjadi kerajaan selama 60 tahun dan dalam masa 60 tahun mereka tak boleh buat, tidak bermakna kita juga tak boleh buat.
"Hanya kerana mereka gagal untuk berbuat demikian tidak bermakna kami pun gagal sama," katanya.
Bagaimanapun, Zuraida turut memberitahu, angka berkenaan mungkin akan berkurangan dalam tempoh empat atau lima tahun berdasarkan jumlah data yang terkumpul.
"Pada masa itu, kita akan lihat semula sama ada perlu atau tidak untuk membina sejuta unit rumah mampu milik dan rumah kos rendah.
"Namun jika ada keperluan, kita tetap akan bina. Jadi ia bergantung kepada data yang kita kumpul," katanya.
#GERAKAN #Pakatan Rakyat #PKR #rumah kos rendah #rumah mampu milik #sejuta rumah #world urban forum #Zuraida Kamaruddin
;