PH gesa kerajaan timbang semula keputusan hantar balik 1,200 warga Myanmar

Astro Awani
Februari 23, 2021 20:25 MYT
Kenyataan itu dikeluarkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. - Bernama
KUALA LUMPUR: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa kerajaan Malaysia mempertimbang semula keputusan menghantar pulang 1,200 warga Myanmar ke negara asal.
Dalam satu kenyataan, Majlis Presiden PH berkata, tindakan sedemikian seperti mengesah dan mengiktiraf junta tentera di Myanmar selain berkemungkinan menjejaskan keselamatan pelarian kerana negara itu masih dianggap zon konflik.
"Sehingga pemerhati antarabangsa dapat mengesahkan keadaan sebenar di Myanmar telah selamat, Malaysia bertanggungjawab untuk memastikan nyawa-nyawa pelarian tersebut tidak terancam," kata mereka dalam kenyataan bersama.
Kenyataan itu dikeluarkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Sementara itu, mereka turut menggesa kerajaan Malaysia untuk memulakan dialog antara pemimpin-pemimpin ASEAN dan junta Myanmar untuk menghentikan kekerasan terhadap penunjuk perasaan, membebaskan semua tahanan politik, serta mengembalikan demokrasi dan institusi Parlimen di Myanmar.
#majlis presiden PH #Anwar Ibrahim #Mohamad Sabu #Lim Guan Eng #Myanmar #pelarian #hantar pulang #gesa kerajaan #timbang semula #junta tentera #keselamatan
;