PH gesa kerajaan adakan sidang Parlimen khas COVID-19 sebelum 18 Mei

Astro Awani
April 16, 2020 15:28 MYT
Syor berkenaan bagi membincangkan langkah-langkah yang perlu diambil termasuk belanjawan tambahan kerajaan dalam menangani penulararan wabak. - Gambar fail
Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa kerajaan mengadakan sidang Parlimen khas berkenaan COVID-19 sebelum 18 Mei 2020.
Antara lain, syor berkenaan bagi membincangkan langkah-langkah yang perlu diambil termasuk belanjawan tambahan kerajaan dalam menangani penulararan wabak.
"Majlis Presiden Pakatan Harapan telah bermesyuarat hari ini secara dalam talian dan membincangkan pertemuan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam. Majlis Presiden telah dimaklumkan bahawa di dalam perbincangan tersebut, Datuk Seri Anwar telah membincangkan penularan wabak COVID-19 dan keperluan mengadakan sidang Parlimen khas untuk membincangkan langkah-langkah yang diambil termasuk belanjawan tambahan Kerajaan dalam menangani penularan wabak ini," kata kenyataan itu.
Jika kerajaan enggan mengadakan sidang Parlimen khas, Majlis Presiden berpandangan sidang mesyuarat pada 18 Mei perlu diadakan selama sekurang-kurangnya dua hari bagi memberi ruang kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat membahaskan isu-isu berkait wabak berkenaan.
"Majlis Presiden berpandangan bahawa Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat Parlimen perlu bertemu segera untuk membincangkan langkah-langkah yang perlu diambil bagi menyesuaikan Peraturan-Peraturan Mesyuarat dengan nasihat dan arahan Kementerian Kesihatan dalam menjaga keselamatan ahli-ahli mesyuarat serta para petugas di Parlimen, termasuk dengan mempertimbang kesesuaian mengadakan sidang Dewan secara dalam talian seperti yang diusahakan di beberapa negara lain," tambah kenyataan lagi.
Oleh itu, Majlis Presiden PH mencadangkan agar satu pertemuan diadakan di antara Yang di-Pertua
Dewan Rakyat, wakil Kerajaan dan Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Seri
Saifuddin Nasution bagi membincangkan perkara ini pada kadar segera.
#Anwar Ibrahim #COVID-19 #Dewan Rakyat #Kementerian Kesihatan #kerajaan #keselamatan #kesihatan #koronavirus #Muhyiddin Yassin #Pakatan Harapan #Parlimen #presiden #rakyat
;