PH-BN ubah pengisian kempen susulan kemangkatan bonda Sultan Terengganu

Bernama
Ogos 3, 2023 00:15 MYT
Ahmad Said berkata antara perubahan adalah yang melibatkan pengisian berbentuk hiburan, namun program ceramah akan tetap diteruskan memandangkan tiada halangan ditetapkan untuk program berkenaan. - Gambar Bernama
KUALA TERENGGANU: Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan mengubah pengisian program kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu, sepanjang tempoh berkabung susulan kemangkatan bonda Sultan Terengganu, Tengku Besar Terengganu Fatimah @ Sharifah Nong Alsagoff Abdillah, awal pagi Khamis.
Pengerusi UMNO Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata antara perubahan adalah yang melibatkan pengisian berbentuk hiburan, namun program ceramah akan tetap diteruskan memandangkan tiada halangan ditetapkan untuk program berkenaan.
"...yang tidak dibenarkan sepanjang tempoh berkabung ini adalah program berbentuk hiburan. Ceramah tiada masalah.
"Begitu juga program Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pada Ahad ini, (tetapi) akan ada perubahan tertentu," katanya kepada media sambil memaklumkan Majlis Ramah Mesra bersama Menteri Pengangkutan Anthony Loke di sini malam Khamis, dibatalkan.
Terdahulu, media melaporkan Tengku Besar Terengganu Fatimah @ Sharifah Nong Alsagoff Abdillah mangkat di Kuala Lumpur pada 3.17 pagi Khamis dan jenazah Almarhumah selamat dimakamkan di Makam Diraja Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang di sini petang Khamis.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Mohd Sophian Abu Bakar berkata Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin memperkenankan tempoh berkabung selama lima hari bermula Khamis dengan majlis tahlil akan diadakan selama lima malam berturut-turut di Balai Islam, Istana Syarqiyyah mulai malam ini.
-- BERNAMA
#selamat dimakamkan #tempoh berkabung #majlis tahlil #program berbentuk hiburan
;