PH belum ada majoriti untuk mansuh Akta Hasutan - Dr Mahathir
Wan Syamsul Amly
Oktober 8, 2018 15:01 MYT
Oktober 8, 2018 15:01 MYT
Pakatan Harapan (PH) memerlukan majoriti dua per tiga sebelum dapat memansuhkan Akta Hasutan 1948 atau sebarang undang-undang lain yang melibatkan Perlembagaan Persekutuan.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, buat masa ini, Akta Hasutan 1948 masih lagi diguna pakai sebelum sebarang keputusan pemansuhan dapat dibuat di Dewan Rakyat kelak.
Oleh itu, jelasnya, PH memerlukan sedikit masa untuk memansuhkan Akta Hasutan.
"Akta Hasutan masih ada, memansuhkan undang-undang itu mengambil masa dan perlu dibawa ke Parlimen. Dalam tempoh tersebut, undang-undang itu terus digunakan.
"Saya cuba tidak mengambil tahu mengenai perkara ini. Sesiapa yang ingin menggelarkan saya dengan pelbagai nama adalah dialu-alukan.
"Banyak undang-undang yang perlu dimansuh manakala beberapa peruntukan harus dipinda. Jika melibatkan Perlembagaan Persekutuan, kita perlu majoriti dua per tiga tapi kita tidak memilikinya," katanya semasa sidang media selepas merasmikan buku Tun Ismail - Paragon of Trust and Integrity, di Auditorium Sasana Kijang, di sini, hari ini.
Buku setebal 211 muka surat itu ditulis sendiri oleh isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, yang juga adik kepada Tun Ismail.
Tun Ismail adalah Gabenor Bank Negara yang pertama.
Di dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PH menyatakan akan menghapuskan Akta Hasutan 1948 selain Akta Pencegahan Jenayah 1959, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Majlis Keselamatan Negara 2014.
PH juga berjanji akan memansuhkan beberapa peruntukan yang terdapat dalam Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Kesalahan Keselamatan, Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Pencegahan Keganasan 2015.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata kerajaan PH komited menunaikan janji untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948.
#akta hasutan
#Dewan Rakyat
#Mahathir Mohamad
#Manifesto
#Pakatan Harapan
#Parlimen
#Perlembagaan Persekutuan
#PRU14
#tun ismail
#undang-undang