PGPF kecam kekerasan Israel terhadap sukarelawan flotila
Bernama
Ogos 1, 2018 05:39 MYT
Ogos 1, 2018 05:39 MYT
Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF) pada Rabu mengecam tindakan Israel ke atas sukarelawan kapal flotila Al Awda yang dirampas pada Ahad semasa dalam perjalanan ke Gaza.
Dalam lima permintaannya, PGPF yang diasaskan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, antara lain menggesa rejim Israel segera menghentikan semua serangan dan penahanan sukarelawan Freedom Flotilla Coalition (FFC) serta membebaskan mereka tanpa sebarang pendakwaan.
"Pembebasan mereka perlu dipercepatkan memandangkan dunia sedang memerhati. Semua barangan milik sukarelawan termasuk pasport harus dikembalikan tanpa berlengah, selain mempercepatkan penghantaran balik sukarelawan."
PGPF juga mahukan kumpulan yang ditahan di Penjara Givon Israel turut diberikan nasihat dari aspek undang-undang oleh peguam dan konsul masing-masing di Israel, dan tidak dihalang untuk berjumpa dengan peguam pada bila-bila masa.
Pengerusi PGPF Tan Sri Norian Mai berkata, walaupun peguam FFC ada bertemu dengan para sukarelawan, namun bila kumpulan itu akan dibebaskan dan dapat kembali ke negara asal masih belum jelas.
Aktivis tunggal Malaysia dari Humanitarian Care Malaysia (MyCare), Dr Mohd Afandi Salleh telah dibebaskan dan selamat tiba di Malaysia malam Selasa.
Kenyataan beliau berbeza dengan apa yang dinyatakan pihak Israel, para sukarelawan dilayan dengan kekerasan menggunakan senjata renjat dan kayu.
"Dr Ang Swee Chai, pakar bedah ortopedik berpangkalan di London yang mencurah bakti lebih 30 tahun dan menyokong perjuangan Palestin cedera di kepala," katanya, sambil menambah tentera Israel turut merampas barang-barang dan pasport semua penumpang kapal.
Menurut laporan, kapal Al Awda, dengan 22 sukarelawan dari seluruh dunia membawa bekalan perubatan bernilai RM61,000.
Norian berkata sejak beroperasi 18 tahun lalu, inisiatif FFC adalah bersandarkan kepada kemanusiaan, tiada kekerasan dan semangat perpaduan yang utuh dengan rakyat Gaza.
Pada 2010, Presiden PGPF Dr Mahathir, mencetuskan idea untuk memecahkan kepungan di Gaza melalui inisiatif flotilla.
Pada masa itu Malaysia melalui Pertubuhan Keamanan Global Perdana - PGPO (kini dikenali sebagai PGPF) menaja tiga kapal iaitu MV Rachel Corrie, Challenger 1 dan Challenger 2.
Pada misi 2010, seramai 10 sukarelawan Turki terkorban selepas tentera Israel menyerbu kapal MV Mavi Marmara.
PGPF kemudiannya menghantar satu lagi misi dinamakan MV Spirit of Rachel Corrie pada 2011, turut dihalang oleh Tentera Laut Israel dan terpaksa menukar laluan menuju ke Pelabuhan Al Arish di Mesir.
-- BERNAMA
#Al Awda
#Bebas
#bekalan
#FFC
#flotilla
#Freedom Flotilla Coalition
#Gaza
#Israel
#kecam
#Mahathir Mohamad
#Malaysia
#mohd afandi salleh
#norian mai
#Palestin
#peguam
#pendakwaan
#penjara
#Penjara Givon
#perubatan
#PGPF
#rampas
#serangan
#sukarelawan
#undang-undang