PGA9 temukan 69 butir peluru di tebing Sungai Golok

Bernama
September 7, 2022 13:59 MYT
Datuk Muhamad Zaki Harun berkata rampasan dilakukan anggota PGA9 yang sedang melakukan rondaan bermotosikal di lokasi tersebut pada 12 tengah hari. - Bernama
KOTA BHARU: Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) menemukan 69 butir peluru pelbagai jenis dalam sebuah beg yang ditinggalkan dalam semak di tebing Sungai Golok berhampiran Pengkalan Haram Pok Ngoh, Pisau Raut, Kuala Jambu di Tumpat, dekat sini, tengah hari semalam.
Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata rampasan dilakukan anggota PGA9 yang sedang melakukan rondaan bermotosikal di lokasi tersebut pada 12 tengah hari.
"Hasil pemeriksaan lanjut ke atas beg itu, polis menemukan 10 butir peluru jenis .38 Spl USA, 10 butir peluru jenis 9mm, 30 butir peluru jenis 357 Mag USA, 16 butir peluru Buck Shot 12 Gauge dan tiga butir peluru jenis .22.
"Beg itu turut mengandungi 240 biji pil yaba, 20gram serbuk kristal disyaki dadah jenis syabu dan satu tiub disyaki berisi biji ganja," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata anggota PGA9 kemudian telah membuat pemerhatian kira-kira dua jam namun tiada sesiapa yang menghampiri atau mengambil beg tersebut sebelum kesemua peluru dan dadah yang dirampas dibawa ke Balai Polis Kuala Jambu untuk tindakan lanjut.
"Pelbagai jenis peluru dan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM5,239 dipercayai diseludup dari Thailand untuk pasaran Malaysia.
"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960, Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Sementara itu dalam operasi berasingan, Muhamad Zaki berkata PGA9 berjaya merampas pelbagai jenama, perisa dan kartrij vape kerana disyaki menyalahi undang-undang bernilai lebih RM2 juta di sebuah rumah di Kampung Kebakat, Wakaf Bharu, Tumpat, Ahad lepas (4 Ogos).
Beliau berkata semasa rampasan pada 12.30 pagi itu, turut ditahan seorang suspek lelaki berusia 34 tahun yang berada di rumah tidak bernombor tersebut.
"Pelbagai jenama, perisa dan kartrij vape yang dirampas dianggarkan bernilai lebih RM2 juta (RM2,041,080) telah diserahkan kepada Bahagian Farmasi Kementerian Kesihatan (KKM) Kelantan untuk siasatan dan tindakan lanjut di bawah Seksyen 13(A) Akta Racun 1952," katanya.
-- BERNAMA
#rampasan #PGA #Sungai Golok #peluru
;