PGA tumpaskan kegiatan seludup haiwan bernilai lebih RM500,000

Bernama
Januari 11, 2025 21:45 MYT
Nik Ros Azhan berkata rampasan itu dilakukan sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Briged Tenggara PGA selepas menahan dua buah lori dalam keadaan mencurigakan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan. - Gambar FB Briged Tenggara PGA
KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan pelbagai jenis haiwan iaitu lembu, kerbau dan kambing dengan anggaran nilai rampasan berjumlah RM506,000 di Masjid Mukim Bakong, Pasir Mas, Khamis lepas.
Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata tangkapan dan rampasan itu dilakukan oleh sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Briged Tenggara PGA selepas menahan dua buah lori dalam keadaan mencurigakan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan, sekitar pukul 3.30 pagi.
"Hasil pemeriksaan mendapati lapan ekor lembu dengan anggaran berat melebihi 5,200 kilogram (kg), empat ekor kerbau dengan anggaran berat lebih 3,200kg, dan 40 ekor kambing dengan anggaran berat lebih 4,000 kg ditemui di dalam lori jenis Isuzu tanpa permit sah," katanya dalam kenyataanhari ini.
Beliau turut memaklumkan dua lelaki berusia 28 dan 30 tahun ditahan kerana dipercayai bertindak sebagai penghantar bagi menyeludup haiwan tersebut ke pasaran tempatan.
Kesemua suspek dan barang rampasan telah dibawa ke Komtak Taman Bakti untuk tindakan lanjut dan kes ini sedang disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.
-- BERNAMA
#Pasukan Gerakan Am #barang rampasan #pasaran tempatan #permit sah
;