PGA rampas ubat-ubatan haiwan diseludup dari Thailand bernilai lebih RM400,000
Bernama
November 22, 2024 16:48 MYT
November 22, 2024 16:48 MYT
KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara merampas pelbagai jenis ubat-ubatan haiwan dipercayai diseludup dari Thailand tanpa dokumen sah bernilai RM434,200 di Pangkalan Haram Simpangan Tumpat semalam.
Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata rampasan berkenaan dilakukan pada 3.30 petang, selepas anggota pasukan PGA yang menjalankan rondaan dalam Op Taring Wawasan Kelantan ternampak beberapa bungkusan mengandungi ubat-ubatan haiwan di kawasan pangkalan haram semasa.
"Ubat-ubatan ini dipercayai untuk diseludup masuk ke pasaran tempatan, dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 7(1)(a) Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984," katanya dalam kenyataan hari ini.
Nik Ros Azhan berkata kesemua hasil rampasan dibawa ke Komtak Pengkalan Kubor untuk tindakan selanjutnya.
-- BERNAMA