PGA rampas kerbau disyaki diseludup dari Thailand
Bernama
Januari 22, 2025 11:20 MYT
Januari 22, 2025 11:20 MYT
KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara menumpaskan kegiatan penyeludupan haiwan dengan penahanan sebuah lori yang membawa 11 kerbau di Kampung Repek, Pasir Mas pada Isnin lepas.
Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata rampasan dilakukan sepasukan anggota Batalion 9 PGA ketika menjalankan Op Taring Wawasan kira-kira 2.30 pagi.
"Anggota menahan sebuah lori dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan sebelum mendapati terdapat 11 kerbau dengan anggaran berat sekitar 9,000 kilogram di dalam lori berkenaan.
"Kerbau berkenaan dipercayai diseludup dari Thailand melalui pangkalan haram tanpa dokumen sah. Anggaran nilai rampasan keseluruhan bernilai RM242,000 termasuk kenderaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pihaknya turut menahan dua lelaki tempatan berumur 26 dan 35 tahun yang dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup kerbau itu ke pasaran tempatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.
-- BERNAMA