PGA rampas 13 lembu seludup dari Thailand

Astro Awani
November 2, 2024 14:00 MYT
PGA Briged Tenggara menumpaskan kegiatan penyeludupan lembu dengan penahanan sebuah lori membawa 13 ekor lembu di Kampung Bukit Tandak, Pasir Mas. - Foto FB PGA Briged Tenggara
KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan lembu susulan penahanan sebuah lori membawa 13 ekor lembu di Kampung Bukit Tandak, Pasir Mas, semalam.
Komander PGA Briged Tenggara, Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid dalam satu kenyataan berkata semua lembu seberat 7,000kg yang dianggarkan bernilai RM107,270 itu dipercayai diseludup dari Thailand.
“Rampasan dilakukan selepas sepasukan anggota Batalion 8 menahan sebuah lori dinaiki dua lelaki berusia 22 dan 42 tahun dalam keadaan mencurigakan ketika menjalankan rondaan Op Taring Wawasan Kelantan kira-kira 12.45 tengah hari.
“Hasil pemeriksaan menemui 13 lembu dalam lori Hicom dan tanpa dokumen sah. Kedua-dua lelaki itu dipercayai menjadi penghantar lembu ke pasaran tempatan,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua lelaki dan barang rampasan dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk siasatan lanjut bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.
#Pasir Mas #rampas lembu #Thailand #Pasukan Gerakan Am #Op Taring
;