PGA guna 10 dron tingkat kawalan sempadan negara - JKDNKA

Bernama
Februari 3, 2022 20:30 MYT
Hazani melihat dron yang digunakan dalam demonstrasi sempena Majlis Penyerahan Dron kepada Komander Briged Pasukan Gerakan Am (PGA) di Markas Taktikal PGA di Lubok Setol, Pasir Mas, 3 Feb 2022. -- fotoBERNAMA
PASIR MAS: Pasukan Gerakan Am (PGA) menggunakan 10 dron di seluruh Semenanjung bagi meningkatkan kawalan sempadan Malaysia sekali gus mengekang kegiatan jenayah rentas negara.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman Datuk Hazani Ghazali berkata penggunaan teknologi dron itu diperlukan kerana ia mampu melaksanakan kawalan udara dengan lebih meluas dan maklumat dapat disampaikan dengan cepat kepada anggota yang bertugas mengesan pergerakan penyeludup di sempadan negara.
"Banyak kejayaan diperoleh hasil penggunaan dron sama ada di sempadan utara mahupun timur apabila kes penyeludupan membabitkan nilai yang tinggi dapat dibanteras.
"Oleh itu, ia dilihat sebagai strategi yang baik bagi membantu melaksanakan dan memperkasakan kawalan sempadan darat," katanya pada sidang media selepas Penyerahan Dron di Markas Taktikal Lubok Stol Briged Tenggara PGA di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Hazani bagaimanapun berkata keperluan penggunaan dron itu akan dilihat dari semasa ke semasa.
"Selain itu, bagi meningkatkan kecekapan dalam pengendalian dron kami telah mengadakan program latihan pada Mac tahun lalu yang dikendalikan oleh Pasukan Gerakan Udara," katanya.
-- BERNAMA
#dron #Hazani Ghazali #sempadan #kawalan keselamatan