PGA Beluran tahan 6 warga Filipina di jeti Batu 2, Sandakan

Qaisara Umaiyah
Januari 6, 2020 11:02 MYT
Semua suspek tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah. - Foto PDRM
Enam lelaki warga Filipina, dipercayai baru mendarat di negara ini, ditahan anggota Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) Beluran di kawasan jeti Batu 2, belakang Masjid Jamek Attaqwa di sini, awal pagi ini.
Pegawai Memerintah Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 20 Beluran ACP Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, suspek yang berusia di antara 23 dan 57 tahun itu ditahan dalam keadaan mencurigakan.
"Ketika dihampiri dan memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan polis, kesemua mereka cuba untuk melarikan diri namun tindakan pantas anggota berjaya menahan mereka.
"Kesemua suspek dipercayai baru sahaja memasuki daerah ini secara haram dan kesemua mereka tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas Mohd Nasaruddin, kesemua suspek yang ditahan kira-kira jam 4 pagi itu didapati tidak memiliki sebarang bahan yang menyalahi undang-undang.
"Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Sandakan untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1963," katanya.
#Filipina #haram #Imigresen #mencurigakan #Mohd Nasaruddin M Nasir #PGA Batalion 20 #polis #Sandakan #suspek #undang-undang
;