Pewartaan 'wilayah' Sarawak dibincang Khamis depan - Abang Jo

Fadilah Sulaiman
Januari 15, 2023 10:15 MYT
Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika melancarkan program 'Car Free Morning Kuching'. - Astro AWANI
KUCHING: Isu pewartaan Sarawak sebagai wilayah di dalam perlembagaan antara perkara yang akan dibincangkan dalam Mesyuarat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) oleh Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sarawak yang dijadualkan pada Khamis depan.
Kata Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg, status Sarawak sebagai wilayah masih belum berkuat kuasa sekali gus menjadikan ia antara hak yang terhakis sejak pembentukan Malaysia 60 tahun lalu.
“Belum, warta wilayah itu cadangan sahaja. Dari mula lagi sepatutnya kita wilayah tapi keadaannya sudah berubah dalam 60 tahun, sebab itu kita meminda perlembagaan MA63.
"Ini adalah mengikut apa yang termaktub dalam perlembagaan kita yang telah mengambil kira memasuki MA63 dan Laporan IGC. Sebenarnya kita wilayah, sebab itu jawatan Ketua Menteri ditukar kepada Premier.
“Kita lihatlah, kita ada mesyuarat 19hb dan kita minta sama ada dia pasti kah tidak,” katanya semasa ditemui pemberita selepas melancarkan program 'Car Free Morning Kuching' dekat sini pada Ahad.
Mesyuarat tersebut akan berlangsung semasa lawatan kerja pertama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Sarawak sejak dilantik sebagai pemimpin nombor satu negara ini pada 24 November lalu.
#pewartaan Sarawak #wilayah #Abang Johari Tun Openg #MA63
;