PEWARIS perkasa golongan wanita dalam aspek ekonomi, pendidikan - Ahmad Zahid
Bernama
Februari 25, 2024 20:15 MYT
Februari 25, 2024 20:15 MYT
CYBERJAYA: Penggerak Wanita RISDA (PEWARIS) yang dilancarkan hari ini mampu memperkasakan golongan wanita khususnya dalam aspek ekonomi dan pendidikan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata program berkenaan, yang diperkenal oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), akan mengubah landskap pemikiran wanita untuk lebih berdaya saing.
Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya menerapkan budaya kerja berpasukan dan tidak bergerak secara silo dalam usaha memperkasakan golongan wanita atau yang membabitkan isu lain.
"Apabila kita bergerak sebagai satu pasukan yang besar, kita perlu ketepikan pemikiran secara silo dan kita ketepikan perkara remeh," katanya.
Pada sidang media selepas majlis itu, Ahmad Zahid berkata PEWARIS adalah kesinambungan kepada jawatan pegawai seranta RISDA yang dijenamakan semula.
"Peranan mereka diperluas kepada bidang ekonomi dan pendidikan," katanya.
Hari ini, RISDA melantik 194 PEWARIS membabitkan seorang ketua, 12 penyelaras peringkat negeri dan 181 ahli di seluruh negara.
Menurut kenyataan RISDA sempena pelancaran program itu, penubuhan PEWARIS adalah antara kaedah dalam menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara berkata program membabitkan golongan wanita mendapat sambutan baik serta ramai membuat pilihan berdasarkan keinginan mereka.
Justeru, beliau yakin sasaran 150,000 peserta dalam program TVET khusus untuk wanita yang dikenali sebagai TVET@JELITA (Job Empowerment by Learning and Inclusive Technical Advancement) menjelang 2027 dapat dijayakan.
"Saya fikir kursus yang ditawarkan itu bersesuaian dengan kehendak pasaran dan sesuai dengan usaha mewujudkan lebih ramai usahawan wanita dalam bidang perniagaan," katanya.
-- BERNAMA