Petugas TH digesa tingkat komitmen santuni 'dhuyufurrahman'

Bernama
Ogos 22, 2017 14:31 MYT
Syed Saleh (gambar) berkata sehingga kini, 84% daripada keseluruhan 30,200 jemaah haji Malaysia sudah berada di Tanah Suci, dengan berbaki 16 lagi penerbangan yang dijangka tiba secara berperingkat dari tanah air. --fotoBERNAMA
Berikutan pertambahan bilangan jemaah pada tahun ini, petugas Tabung Haji (TH) digesa supaya terus meningkatkan semangat dan komitmen dalam menyantuni 'dhuyufurrahman' (tetamu Allah) bagi memastikan operasi haji berjalan lancar.
Ketua Rombongan Haji Malaysia 1438 Hijrah Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata dengan berbaki tidak sampai 10 hari menjelang operasi Masyair, petugas perlu memberi sepenuh fokus terhadap tanggungjawab mereka kerana pada masa ini, adalah saat paling penting yang akan melibatkan semua aktiviti rukun dan wajib haji.
"Petugas perlu memastikan urusan pergerakan jemaah haji, penempatan, perkhidmatan, sajian, ibadah, pengurusan perubatan dan lain-lain dilaksanakan dengan lancar dan tersusun," katanya pada Majlis Amanat Ketua Rombongan Haji Malaysia 1438 Hijrah kepada petugas TH di Ibu Pejabat TH di Hotel Abraj Al-Janadriyah, di sini Isnin (semalam).
Beliau berkata sehingga kini, 84 peratus daripada keseluruhan 30,200 jemaah haji Malaysia sudah berada di Tanah Suci, dengan berbaki 16 lagi penerbangan yang dijangka tiba secara berperingkat dari tanah air.
"Kita telah melangkah ke satu lagi episod, dengan kemuncak haji sudah pun bermula. Sebagai petugas yang mempunyai semangat tinggi, lakukanlah terbaik dengan kerja proaktif dalam memberikan perkhidmatan kepada jemaah haji Malaysia," katanya.
Syed Saleh berkata berikutan keputusan kerajaan Arab Saudi mengembalikan semula kuota 20 peratus jemaah kepada negara termasuk Malaysia, dijangkakan bakal menyaksikan pertambahan antara 600,000 dan 700,000 jemaah dari seluruh dunia pada musim haji tahun ini.
"Lebih banyak bas dan jemaah haji akan bergerak ke Arafah, Mudzalifah serta Mina dan sudah tentu akan berlaku kesesakan lalu lintas. Jadi, kita akan mula pergerakan jemaah dalam operasi Masyair ini lebih awal kerana ia dijangka mengambil masa yang lama.
"Pertambahan jemaah ini juga akan menyebabkan kesesakan dan khemah menjadi sempit di Arafah dan Mina. Maka, petugas diharap dapat menangani perkara itu sebaiknya dengan memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji Malaysia," katanya.
Selain itu, Syed Saleh berkata cabaran lain adalah jemaah perlu berdepan dengan cuaca panas, kering dan berdebu.
"Tahun lepas semasa hari wukuf, suhu mencecah sehingga 50 darjah celsius. Jadi, petugas perlu sentiasa memberikan nasihat dan kaedah penjagaan kesihatan kepada jemaah, di samping berdoa supaya dipermudahkan segala urusan oleh Allah SWT," katanya.
Pada majlis itu juga, petugas TH menyanyikan lagu patriotik bersempena sambutan Bulan Kemerdekaan negara, selain diadakan bacaan doa dan tayangan video.
-- BERNAMA
#Arab Saudi #Haji #jemaah #masyair #petugas #Syed Saleh Syed Abdul Rahman #Tabung Haji #Wukuf
;