Petugas PKPD Medan 88 jalani saringan COVID-19 - Polis

Bernama
November 24, 2020 05:39 MYT
Medan 88 masih berada di bawah PKPD dan pelaksanaan arahan berkenaan akan ditamatkan pada tengah malam Rabu. -Gambar fail/Bernama
SEPANG: Kesemua 138 petugas daripada pelbagai agensi yang terlibat dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi dekat sini, menjalani saringan COVID-19 semalam.
Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof dalam kenyataan berkata daripada jumlah keseluruhan petugas yang menjalani saringan COVID-19 itu, 67 daripadanya adalah anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau berkata mereka yang turut menjalani saringan COVID-19 terdiri daripada 19 petugas Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), 16 petugas Jabatan Sukarelawanan Malaysia (RELA), Pejabat Daerah Sepang (13 orang), Jabatan Kebajikan Masyarakat (18) dan Jabatan Penerangan (lima).
Dalam pada itu, Wan Kamarul Azran berkata Medan 88 masih berada di bawah PKPD dan pelaksanaan arahan berkenaan akan ditamatkan pada tengah malam Rabu.
Katanya, sejak PKPD dilaksanakan pada 12 Nov, seramai 43 penduduk Medan 88 yang tidak pulang ke kediaman masing-masing sejurus mendapat maklumat kawasan itu dikenakan PKPD tampil menyerah diri.
Jumlah berkenaan membabitkan 32 lelaki dan 11 wanita, terdiri daripada 14 warga tempatan (11 lelaki dan tiga wanita); 19 warga Indonesia (15 lelaki dan empat wanita); tujuh Thailand (tiga lelaki dan empat wanita) dan masing-masing satu (Myanmar, India dan Nepal).
-- BERNAMA
#petugas #agensi #Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan #PKPD #Medan 88 #Bandar Salak Tinggi
;