Petugas Pejabat Perdana Menteri turut bantu bersihkan rumah mangsa banjir
Bernama
Disember 14, 2013 21:12 MYT
Disember 14, 2013 21:12 MYT
Seramai 50 sukarelawan dari pejabat Perdana Menteri bersama-sama pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini turun padang membantu membersihkan rumah mangsa banjir di daerah ini.
Misi itu diketuai setiausaha sulit perdana menteri Datuk Poad Jelani membantu membersihkan rumah mangsa banjir di Kampung Mengkarak, Durian Tawar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Guai dekat sini.
Selain membersihkan rumah, bantuan barangan keperluan berupa beras, gula dan susu yang bernilai RM10,000 turut dihulurkan kepada mangsa banjir yang disampaikan kepada Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Guai Datuk Norol Azali Sulaiman.
Norol Azali mengucapkan setinggi penghargaan kepada misi pejabat Perdana Menteri dan UPM yang turun padang membantu mangsa mangsa banjir di kawasannya.
"Saya bagi pihak penduduk sangat menghargai usaha murni itu kerana ia dapat meringankan bebanan yang mereka hadapi berikutan bencana itu,"katanya.
Sementara itu, setiausaha akhbar perdana menteri Rozilan Salleh berkata pihaknya pada minggu lepas membantu mangsa banjir di Pekan.
Misi bantuan ini, katanya dirancang diteruskan ke daerah-daerah lain nanti.
Beliau berharap semua pihak seperti badan-badan bukan kerajaan dan swasta bersama-sama membantu mereka yang ditimpa musibah banjir itu.