Petugas Parlimen meninggal dunia akibat COVID-19 - Pengarah Kesihatan

Astro Awani
November 29, 2021 19:17 MYT
Mangsa berusia 54 tahun meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur, semalam selepas disahkan positif COVID-19, awal bulan ini. - Foto fail
KUALA LUMPUR: Pejabat Kesihatan Kuala Lumpur dan Putrajaya mengesahkan satu kes kematian melibatkan seorang petugas Parlimen yang berusia 54 tahun dan tidak diketahui menghidap sebarang penyakit kronik sebelum ini.
Pengarahnya, Datuk Dr Param Jeeth Singh berkata mangsa meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur, semalam selepas disahkan positif COVID-19, awal bulan ini.
Menurutnya, pesakit mula mengalami gejala demam dan batuk pada 3 November lalu dan telah melakukan ujian saringan COVID-19 RT-PCR pada 8 November dengan bacaan nilai CT adalah 17.4.
"Bilik Gerakan COVID-19 Pejabat Kesihatan Lembah Pantai telah menghubunginya pada hari yang sama untuk siasatan dan mendapati status COVID-19 kes adalah Kategori 2a (risiko rendah dan gejala ringan).
"Kes telah diarahkan untuk ke COVID-19 Assessment Centre (CAC) bagi penilaian klinikal dan seterusnya rawatan susulan jika berkaitan.
"Pada 9 November 2021, kes telah hadir ke CAC di Dewan Komuniti Bukit Bandaraya, Bangsar dan memaklumkan yang beliau mengalami sesak nafas.
"Penilaian klinikal menunjukkan status COVID-19 kes adalah kategori 4 dan beliau dengan segera telah dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur dan kemudiannya telah dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Param Jeeth berkata, siasatan mendapati pergerakan beliau sebelum ini hanya meliputi tempat kerja dan rumah sahaja serta tidak terlibat dengan perjumpaan bersama ahli Parlimen dalam tempoh dua minggu sebelum dikesan bergejala.
"Kes juga sudah tidak hadir bekerja sejak mula mengalami gejala dan hari terakhir hadir ke pejabat adalah pada 3 November 2021.
"Seramai empat orang kontak rapat iaitu dua orang kontak di rumah dan dua orang kontak di tempat kerja telah dikenal pasti dan kesemuanya telah menjalani kuarantin sebaik sahaja dikenal pasti," katanya.
Justeru, katanya pihaknya masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca jangkitan.
#petugas Parlimen meninggal dunia #positif COVID-19 #jangkitan #ujian saringan
;