Petugas media mula 'berkampung' di kediaman PM

Astro Awani
Julai 29, 2021 16:02 MYT
Para pengamal media mula berkampung di hadapan kediaman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - fotoBernama
KUALA LUMPUR: Kediaman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi tumpuan petugas media susulan kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara berhubung isu pembatalan Ordinan Darurat pada Khamis.
Para petugas media dilihat mula 'berkampung' di kediaman perdana menteri yang terletak di Bukit Damansara, di sini sejak pukul 1 tengah hari tadi.
Tinjauan mendapati, beberapa kenderaan dipercayai membawa menteri dan Peguam Negara memasuki perkarangan kediaman perdana menteri pada kira-kira 1.30 tengah hari.
Terdahulu, dalam kenyataan Istana Negara, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan di Parlimen pada Isnin lalu bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat.
Menurut kenyataan itu, pembatalan Ordinan Darurat itu bagaimanapun belum lagi diperkenan Seri Paduka Baginda.
Yang di-Pertuan Agong juga amat dukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dititahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang serta dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan tidak dilaksanakan.
#Ordinan Darurat #Tan Sri Muhyiddin Yassin #Kediaman Perdana Menteri #petugas media
;