PUTRAJAYA: Seramai 38 petugas media daripada 47 agensi tempatan dan antarabangsa yang akan membuat liputan di Sukan Olimpik Tokyo, Jepun pada Julai ini telah menerima dos pertama suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEV), hari ini.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata pemberian vaksin itu diagihkan dengan bantuan Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM).

“Selebihnya bagi petugas yang mendapatkan suntikan dos pertama seperti AstraZeneca, Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) akan mengatur janji temu agar dos kedua mereka sempat diberikan sebelum mereka berangkat.

“Selepas 100 kumpulan wartawan menerima vaksin pada minggu lepas di Dewan Seroja, Putrajaya seramai 123 petugas di Perak juga menerima suntikan pertama pada Jumaat lalu,” katanya dalam sidang media mingguan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Mengulas lanjut, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, sebanyak 700 janji temu telah diberikan kepada petugas media di seluruh negara untuk dos pertama vaksinasi, setakat hari ini.

Katanya, CITF dijangka mengeluarkan lebih banyak janji temu pada minggu ini kepada petugas media.

“(Bagaimanapun), CITF juga perlu mengimbangi keperluan pemberian vaksinasi media dengan fasa kedua iaitu golongan warga emas, OKU dan komorbiditi,” tambah Khairy.

Dalam perkembangan sama, Khairy berkata satu lagi PPV mega di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC), Seri Kembangan beroperasi mulai hari ini.

Jelas beliau, PPV berkenaan mempunyai keupayaan kapasiti penuh untuk menampung 8,000 janji temu dan dibuka mulai pukul 9 pagi hingga 8 malam.

Bagaimanapun, jumlah janji temu hari pertama untuk MIECC dihadkan kepada 4,900 berbanding kapasiti penuh bagi menjamin aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP), tambahnya.