Petugas KKM ditemui meninggal dunia di pusat kuarantin

Afiezul Samit
Ogos 13, 2021 14:29 MYT
Tambah Ahsmon, pemeriksaan tubuh badan juga mendapati tiada sebarang kecederaan dialami mangsa dan siasatan lanjut masih berjalan. - Foto Astro AWANI
KUCHING: Seorang petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ditemui tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia dalam bilik rehat di sebuah hotel yang dijadikan sebagai pusat kuarantin pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ahsmon Bajah berkata, mangsa dikenali sebagai Mohd Nizarman Hisham Mudda dipercayai meninggal dunia dalam tempoh tujuh jam sebelum disedari rakan sekerjanya.
"Kami menerima maklumat awal sekitar jam 7.07 malam berkenaan mangsa yang tidak sedarkan diri dalam bilik rehat di tingkat dua.
"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas kesihatan yang turut hadir ke lokasi.
"Mangsa merupakan seorang pembantu perubatan berusia 28 tahun yang baharu ditugaskan di pusat kuarantin tersebut 2 Ogos lalu dan berasal dari Mukah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dan tiada sebarang kesan pecah masuk atau kehilangan barangan milik mangsa.
Tambah Ahsmon, pemeriksaan tubuh badan juga mendapati tiada sebarang kecederaan dialami mangsa dan siasatan lanjut masih berjalan.
Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut kerana tiada sebarang unsur jenayah ditemui.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk saringan COVID-19 dan bedah siasat.
#mati mengejut #Mohd Nizarman Hisham Mudda #Polis Kuching #ahsmon bajah #petugas KKM Sarawak #petugas kesihatan
;