Petugas khas pascabanjir perkasa usaha gembleng, selaras pengurusan bencana
Hafizi Rosli
Disember 27, 2021 12:20 MYT
Disember 27, 2021 12:20 MYT
KUALA LUMPUR: Penubuhan petugas khas pascabanjir berupaya memastikan peranan kerajaan persekutuan dan semua 24 kementerian, serta badan bukan kerajaan (NGO), dapat digembleng dan diselaras dalam mengurus bencana itu.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata, ia sekali gus akan memastikan setiap keperluan asas dapat disalurkan kepada mangsa.
Begitu juga, penilaian risiko dapat dibuat, kebajikan petugas dijaga, serta jumlah kerosakan dan kerugian akibat banjir boleh dikendalikan dengan baik.
"Ia meliputi usaha untuk memastikan perkhidmatan asas, air, elektrik dapat kembali kepada asal. Penilaian risiko kawasan dan kesihatan awam susulan bencana juga penting.
"Akhirnya, penaksiran kerosakan dan kerugian juga akan diperincikan kepada kerajaan persekutuan.
"Dan, apa yang boleh dilaksanakan selain kebajikan petugas juga akan diberi perhatian," katanya dalam program AWANI Pagi hari ini.
Menurut Aminuddin, petugas khas itu juga memainkan peranan untuk memperkukuh koordinasi antara agensi serta NGO supaya penyampaian bantuan dapat disalurkan dengan baik.
"NGO yang banyak turun ke bawah. Ini termasuk 103 NGO yang menjadi rakan NADMA, dengan 15,000 sukarelawan. Semua perlu dikoordinasi.
"Jadi, dengan adanya pasukan khas ini, NGO serta agensi lain dapat dikoordinasikan dalam skop yang lebih besar dan menyusun atur proses bantuan," katanya.
Jelasnya, kesemua langkah yang diambil ini adalah bagi memastikan kelancaran proses pemulihan.
Pada Ahad, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali memaklumkan, Ketua Pengarah Keselamatan Negara Datuk Rodzi Md Saad dan Aminuddin antara individu yang menganggotai pasukan petugas khas pascabanjir.
AWANI Pagi: Pengurusan Bencana