Petugas kesihatan wujudkan 'food bank' bantu golongan terkesan
Sinar Harian
Julai 29, 2021 09:54 MYT
Julai 29, 2021 09:54 MYT
PEKAN: Di sebalik kesibukan sebagai barisan hadapan merawat pesakit saban hari, petugas Klinik Kesihatan Bandar Pekan di sini masih mampu meluangkan masa menggerakkan usaha membantu golongan yang terkesan dengan pandemik COVID-19.
Mereka mengambil inisiatif mewujudkan 'food bank' di klinik kesihatan itu untuk membantu golongan memerlukan termasuk dalam kalangan pesakit yang datang mendapatkan rawatan.
Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Bandar Pekan, Dr Surender Benedict berkata, 'food bank' itu diwujudkan atas inisiatif Kelab Kebajikan, Sukan dan Rekreasi Klinik Kesihatan Bandar Pekan sejak dua minggu lalu.
Menurutnya, usaha itu diwujudkan bertitik tolak daripada keluhan pesakit yang mengadu berdepan masalah ekonomi ekoran Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan dalam mengekang pandemik COVID-19.
"Ada juga yang datang untuk saringan COVID-19 mengadu tidak dapat bekerja sepanjang tempoh kuarantin dan sebagainya.
"Kami dapati ramai yang terdesak dan memerlukan bantuan jadi kami ambil inisiatif mewujudkan 'food bank' ini bagi membantu mereka," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Dr Surender Benedict berkata, melalui 'food bank' yang menyediakan pelbagai bekalan makanan kering itu, pesakit yang datang janji temu untuk pemeriksaan dan rawatan boleh mengambil keperluan makanan yang disediakan sekiranya memerlukan.
"Ia juga terbuka kepada penduduk sekitar yang memerlukan. Mereka boleh mengambilnya sekadar perlu tanpa perlu memaklumkan kepada pihak klinik.
"Ambil sekadar perlu, kongsi jika mampu, itu yang kami tekankan supaya lebih ramai dapat dibantu dan tampil membantu," katanya.
Beliau berkata, setakat ini sambutan amat baik dan ramai yang telah mendapat manfaat daripada 'food bank' yang diwujudkan itu.
"Pada masa sama, kami juga mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk individu dan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang tampil menyumbang kepada projek 'food bank' ini.
"Sekiranya sokongan daripada penyumbang berterusan, projek ini akan terus dilaksanakan supaya lebih ramai yang dapat dibantu," katanya.
Tambahnya, orang ramai dialu-alukan untuk sama-sama menyumbang kepada projek itu.
Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengumumkan, kerajaan akan memberi Bantuan Khas COVID-19 (BKC) kepada isi rumah kategori miskin tegar, B40 dan M40 termasuk golongan bujang bermula Ogos.
Menurut Perdana Menteri, bantuan itu bakal memanfaatkan lebih 11 juta isi rumah dan individu warga emas serta bujang dengan peruntukan sebanyak RM4.6 bilion.
Sejumlah RM300,000 juga diberikan kepada semua Ahli Parlimen bagi program Bantuan Bakul Makanan seperti yang diumumkan dalam Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) mula disalurkan pada 1 Julai.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berhubung perkara ini memaklumkan peruntukan itu turut diberikan kepada Ahli Parlimen pembangkang.
Artikel asal disiarkan di Sinar Harian. Petugas kesihatan wujudkan 'food bank' bantu golongan terkesan