Petugas kaunter perlu cerminkan sikap harmoni - Dr Zaliha

Amirul Aiman
Januari 26, 2025 10:00 MYT
Dr Zaliha menyempurnakan Program Car Free Day Putrajaya, pada Ahad.
PUTRAJAYA : Petugas kaunter kerajaan perlu mengamalkan sikap mesra, responsif dan berintegriti ketika berurusan dengan masyarakat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.
Beliau menegaskan, pentingnya sikap harmoni, termasuk nilai hormat dan adil, diterapkan dalam setiap pekerja, bukan hanya di kaunter hadapan.
"Petugas kaunter adalah barisan pertama yang berinteraksi dengan masyarakat.
“Oleh itu, mereka harus memiliki sikap yang mencerminkan keharmonian, mesra pelanggan dan integriti agar dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di program Car Free Day, di sini, hari ini.
Pada Sabtu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata pertukaran petugas kaunter yang berkhidmat melebihi lima tahun perlu dilaksanakan secara berfasa.
Katanya, ia bagi memastikan ketetapan baharu itu tidak merencatkan urusan perkhidmatan kerajaan.
Menurutnya, proses pertukaran ini akan diselaraskan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan melibatkan 1,063 pegawai guna sama.
#perkhidmatan awam #petugas kaunter #integriti #Dr Zaliha Mustafa
;